Zunar mahu menentang 'hingga ke titisan dakwat terakhir'
AFP
April 19, 2015 15:17 MYT
April 19, 2015 15:17 MYT
Kartunis, Zulkiflee Anwar Alhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar mungkin berdepan dengan hukuman 43 tahun penjara atas dakwaan menghasut, namun dalam sebuah wawancara bersama AFP, dia berkata bahawa semua ancaman itu tidak akan melumpuhkan usahanya mengkritik pentadbiran kerajaan melalui karikatur.
"Anda boleh gari tangan saya, ikat kaki saya atau pasung leher atau tubuh saya. Namun saya tetap akan melukis,” ujar Zunar, 52.
Kepada AFP dia menunjukkan karikatur dirinya yang dirantai namun masih mahu melukis dengan menjepit pen dengan giginya.
"Saya akan terus melukis hingga ke titisan dakwat terakhir,” ujarnya.
Zunar pernah ditahan pihak berkuasa kerana hasil karyanya yang banyak mengesyorkan tentang keterlibatan kerajaan dalam skandal rasuah dan penindasan.
Pada 3 April lalu sebanyak sembilan dakwaan menghasut telah difailkan terhadapnya dan semua itu membawa kepada hukuman penjara lebih 40 tahun. Namun, peguamnya yakin bahawa hukuman tidak akan sampai ke tahap itu jika kartunis itu didapati bersalah.
Zunar percaya lakarannya lebih mempengaruhi orang ramai berbanding media cetak lain, terutamanya untuk generasi muda dan rakyat di luar bandar.
Dalam laporan wawancara bersama AFP itu juga, Robert Russel dari pertubuhan Jaringan Hak Asasi Kartunis Antarabangsa menyatakan bahawa dia pernah mencadangkan kepada Zunar untuk meninggalkan negara namun Zunar berkeras mahu berada di Malaysia.