Zunar fail semakan kehakiman cabar perintah larangan ke luar negara
Bernama
Disember 7, 2016 15:38 MYT
Disember 7, 2016 15:38 MYT
Kartunis, Zunar hari ini menfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar perintah Jabatan Imigresen Malaysia yang melarangnya ke luar negara.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, 54, menfailkan permohonan itu melalui peguam Eric Paulsen dan Melissa Sasidaran di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini, serta menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Zunar selaku pemohon, memohon perintah certiorari untuk membatalkan arahan sekatan perjalanan oleh responden terhadapnya yang dimaklumkan secara lisan pada 17 Okt lepas.
Beliau memohon perintah deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya telah melanggar Perkara 5(1), Perkara 8 dan/atau Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Zunar juga memohon perintah mandamus dari mahkamah untuk mengarahkan kesemua responden membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.
Zunar ketika sidang media hari ini memberitahu pemberita beliau dihalang oleh pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 Okt untuk ke Singapura bagi menghadiri satu forum di sebuah universiti di sana.
-- BERNAMA