Zulinda Ramli wanita pertama dilantik sebagai Laksamana Pertama Maritim
Hilmi Malik
Jun 23, 2023 17:54 MYT
Jun 23, 2023 17:54 MYT
KUALA LUMPUR : Pelantikan Zulinda Ramly sebagai Laksamana Pertama Maritim mencatatkan sejarah buat badan penguatkuasaan itu apabila beliau menjadi wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu.
Zulinda, 46, merupakan antara sembilan pegawai Maritim Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama Maritim.
APMM menerusi satu kenyataan pada Jumaat menyatakan, Zulinda sebelum ini juga telah memegang beberapa portfolio penting dalam badan berkenaan.
“Antara kejayaan yang dikecapi beliau adalah mengetuai pelbagai operasi khas yang melibatkan jenayah rentas sempadan, mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) untuk negeri-negeri di utara Semenanjung tanah air dan juga bertindak sebagai Ketua Gugus.
“Tugas Operasi Benteng (KGT 24.1) dalam menangani kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) semasa pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain itu, Zulinda yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata itu juga pernah memegang jawatan Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum ditukar lantik ke dalam Maritim Malaysia pada 15 Oktober 2008.
Beliau turut mempunyai kelulusan Diploma Pengurusan Teknologi (Pengangkutan Pertahanan Maritim) dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1998.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menerima kenaikan pangkat Laksamana Muda Maritim dan ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim.
Antara individu lain yang turut dinaikkan pangkat termasuklah Pengarah Bahagian Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim Syed Islam Shahajam kepada Laksamana Pertama Maritim serta Pengarah Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).