Zoo Taiping dan Night Safari dibuka semula 15 Jun, beri 20 peratus diskaun

Abd Razak Mohd Ali
Jun 12, 2020 12:15 MYT
Kakitangan Zoo Taiping dan Night Safari memeriksa suhu badan Nolee Ashilin yang mengunjungi zoo bagi melihat persediaan yang dibuat sebelum dibuka semula 15 Jun ini. Foto ihsan Majlis Perbandaran Taiping
Zoo Taiping dan Night Safari akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 15 Jun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, mulai tarikh itu, Zoo Taiping akan beroperasi antara 8.30 pagi hingga 6 petang manakala waktu operasi Night Safari pula dari 8 hingga 10 malam.
“Terdapat pindaan pada waktu tamat operasi Night Safari iaitu sejam lebih awal pada hari bekerja dan dua jam lebih awal pada hari cuti umum dan pada hujung minggu, berbanding waktu sebelum ini,” katanya di sini pada Khamis.
Nolee berkata, untuk menggalakkan kedatangan semula pengunjung, Majlis Perbandaran Taiping menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada semua pelawat mulai 15 Jun hingga 15 Julai.
“Sekiranya sambutan baik, mungkin kita menawarkan lebih banyak pakej dan promosi untuk Zoo Taiping,” ujarnya.
BACA: PKPP: Zoo Taiping dan Night Safari benar 1,250 pengunjung bagi tempoh tiga jam
Menurutnya, dengan diskaun itu, pengunjung dewasa ke Zoo Taiping hanya perlu membayar RM13 berbanding RM15 harga biasa, manakala kanak-kanak hanya RM6 berbanding RM8 sebelum diskaun.
Bagi Night Safari pula, kata beliau, dewasa hanya dikenakan RM16 berbanding harga biasa RM20 manakala kanak-kanak hanya RM8 berbanding harga asal RM10.
Dalam pada itu, pihak Zoo Taiping akan membenarkan hanya 1,250 pengunjung dalam satu-satu masa bagi tempoh anggaran antara dua hingga tiga jam.
Pengunjung dinasihatkan memakai penutup hidung dan mulut di samping mematuhi penjarakan sosial dan SOP yang telah ditetapkan.
#diskaun #Kanak-kanak #kerajaan #keselamatan #Majlis Keselamatan Negara #Majlis Perbandaran Taiping #MKN #Night Safari #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #operasi #pelancongan #pelawat #pengunjung #penjarakan sosial #penutup hidung dan mulut #SOP #Taiping #Zoo Taiping
;