Zoo Negara tidak lakukan kesalahan jual Rusa Bintik - Perhilitan
Bernama
Februari 6, 2021 19:02 MYT
Februari 6, 2021 19:02 MYT
KUALA LUMPUR: Rusa Bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], maka penjualan haiwan itu oleh Zoo Negara kepada pihak lain adalah mematuhi prosedur.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam kenyataan hari ini memberitahu Zoo Negara perlu mendapatkan lesen atau permit khas daripada jabatan itu bagi penjualan atau pembelian mana-mana spesies hidupan liar di bawah Akta 716.
"Bagaimanapun, Rusa Bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah Akta 716. Oleh itu, penjualan Rusa Bintik oleh Zoo Negara tidak tertakluk kepada Akta 716," katanya.
Perhilitan juga memaklumkan Zoo Negara dalam mesyuarat dengan jabatan itu pada 3 Feb lepas, menjelaskan bahawa penjualan haiwan itu adalah sebahagian daripada pengurusan stok.
Tindakan itu kerana memandangkan stok sedia ada sebanyak lebih 50 ekor Rusa Bintik adalah melebihi keperluan Zoo Negara, selain dapat mengoptimumkan kos pengurusan terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19, menurut Perhilitan.
"Pada masa yang sama, bagi membantu meringankan beban Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) termasuk Zoo Negara yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) telah memberikan diskaun bil elektrik 10 peratus bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2021," demikian menurut kenyataan tersebut.
Menjelas lanjut, Perhilitan memaklumkan Zoo Negara beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diuruskan oleh Malaysian Zoological Society (MZS) dan diberikan permit pengendalian zoo di bawah Akta 716 oleh jabatan tersebut.
Perhilitan mengeluarkan kenyataan berkenaan bagi memberi maklum balas kepada laporan sebuah portal tempatan pada 4 Feb, mengenai penjualan Rusa Bintik (Rusa Axis) oleh Zoo Negara kepada syarikat swasta yang dikatakan tidak mematuhi prosedur ditetapkan.
-- BERNAMA