Zoo Negara terima peruntukan RM10 juta - Perdana Menteri

Fahmi Izuddin
Januari 27, 2024 11:55 MYT
Anwar hadir pada Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Zoo Negara hari ini. Turut kelihatan, Dr Wan Azizah dan Amirudin. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Zoo Negara.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan RM5 juta itu juga ditambah dengan dana terkumpul menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat terlibat, berjumlah RM5 juta.
“Saya kumpul dana tambahan RM5 juta dari program CSR dan dari Kerajaan Persekutuan, saya luluskan RM5 juta.
“Kadar RM10 juta ini kita akan kawal dengan Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Persekutuan, serta dengan kerjasama jawatankuasa Zoo Negara,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Dataran Dato' Ismail Hutson, Zoo Negara hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari
Pada masa sama, Anwar turut mencadangkan kepada Zoo Negara supaya mewujudkan satu ruang khas yang dinamakan sudut Madani.
“Saya harap dapat satu sudut yang indah dan khusus untuk naikkan martabat Zoo Negara, dengan sudut khas Madani,” tambahnya.
Katanya, kewujudan sudut khas itu boleh mempertingkat kualiti keindahan sedia ada di Zoo Negara.
#Anwar Ibrahim #Zoo Negara #peruntukan #pembangunan Zoo Negara
;