Zoo Negara rai pencapaian 60 tahun penubuhan
Fahmi Izuddin
Januari 27, 2024 15:50 MYT
Januari 27, 2024 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Zoo Negara menyambut ulang tahun ke-60 dengan sambutan Jubli Intan pada Jumaat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly Lana @ Rahmat Ahmat Lana berkata antara pencapaian Zoo Negara selama enam dekad penubuhannya termasuk berjaya membiakkan beberapa spesies haiwan terancam.
“Sehingga hari ini kita berjaya membuat proses pembiakan haiwan spesies terancam, seperti harimau Malaya dan tapir.
“Pada masa sama, kami menerima dua ekor harimau dari pusat konservasi harimau Malaya dari Zoo Melaka,” ujarnya ketika berucap pada Sambutan Jubli Intan Zoo Negara di sini pada Sabtu.
Selain itu beliau berkata kejayaan signifikan lain Zoo Negara adalah diiktiraf kerajaan China sebagai antara penjaga panda gergasi terbaik dunia.
Ia susulan kejayaan melaksanakan usaha konservasi haiwan itu sejak 2014 menerusi pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang.
Pasangan panda itu kemudiannya melahirkan tiga anak iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021).
Berikutan perjanjian program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa antara Malaysia-China, Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi telah dihantar pulang pada Ogos 2023.
Berkata lanjut, beliau menegaskan sambutan juga diadakan bersempena dengan memperingati enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar.