Zoo Negara perlu bergerak ke hadapan - Xavier

Bernama
Mei 27, 2019 07:00 MYT
Xavier berkata, akan ada banyak pihak yang mengambil bahagian dalam perbincangan untuk memulihkan Zoo Negara. - Gambar fail
Telah tiba masanya bagi pentadbiran Zoo Negara mencari jalan menambah bilangan pelawat termasuk menerusi penjenamaan semula untuk terus kekal berdaya saing dengan keadaan semasa, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.
Beliau berkata sejak penubuhannya Zoo Negara berada dalam keadaan baik, cuma dari segi kewangan tidak begitu memberangsangkan kerana banyak bergantung kepada jualan tiket dan penaja.
"Zoo Negara perlu berubah kerana harapan orang ramai serta penaja amat tinggi. Sudah barang tentu kewangan Zoo Negara dalam keadaan yang sangat ketat dan kita cuba membantu mana yang boleh, tetapi sejak akhir-akhir ini kita ada keutamaan yang perlu dilaksanakan. Bagi saya Zoo Negara perlu menilai semula kedudukannya.
"Jadi, akan ada banyak pihak yang mengambil bahagian dalam perbincangan untuk memulihkan Zoo Negara dan sudah ada beberapa cadangan mengenai bagaimana kita perlu bergerak ke hadapan," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
"Kedudukan negara kita hampir dengan Singapura. Mereka berbangga dengan zoo, safari malam dan jumlah kemudahan yang mereka miliki untuk pelancong, Jadi cabaran bagi kita adalah untuk setanding dengan mereka. Kita memerlukan lebih banyak penaja agar kami dapat memperbaiki keadaan, "katanya.
BACA: Berita sedih buat Malaysia, Tam sudah tiada...
Sementara itu, Xavier mengalu-alukan kerjasama dengan negara jiran, terutama Indonesia, dalam memastikan program pemuliharaan haiwan terancam berjalan dengan lancar.
"Setakat ini, kerjasama pemuliharaan kita dengan Indonesia adalah untuk berkongsi maklumat tentang badak Sumatera di Sabah, tetapi pada masa akan datang kita juga dapat bekerjasama dalam pemuliharaan gajah, orang utan dan harimau Malaya yang perlu dilindungi juga," katanya.
Mengakui bahawa beliau tidak berpuas hati dengan kedudukan badak Sumatera terakhir di negara ini, Xavier berharap kerjasama yang berterusan antara kedua-dua negara dapat memberi kesan positif terhadap pemuliharaan spesies tersebut.
"Satu-satunya badak di Sumatera yang kita ada sedang sakit dan kita masih belum melihat adanya badak Sumatera baharu tetapi di Indonesia mereka mempunyai jumlah yang agak banyak (badak).
"Kita menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan negara ini untuk berkongsi pendapat dan maklumat untuk masa depan spesies ini," katanya.
-- BERNAMA
#badak Sumatera #bilangan pelawat #Indonesia #pelancong #pemuliharaan haiwan #penaja #penjenamaan semula #Singapura #tiket #Xavier Jayakumar #Zoo Negara
;