Zoo Negara kembali ceria! Pengunjung 'lepas rindu'

Hasimi Muhamad
Mac 5, 2021 17:36 MYT
Para pengunjung mengambil peluang pada hari pertama pembukaan semula Zoo Negara - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi oleh Zoo Negara susulan pandemik COVID-19.
Sejak setahun lalu ikon riadah negara itu dihimpit pelbagai kekangan sehingga memaksa Zoo Negara melakukan pelbagai inisiatif untuk kembali bernafas.
Kebenaran untuk kembali beroperasi selepas ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 Januari lalu memberi sinar baharu untuk Zoo Negara mengorak langkah ke arah pemulihan.
Tinjauan Astro AWANI pada hari pertama pembukaan Zoo Negara hari ini menyaksikan sambutan mengalakkan selepas orang ramai mengambil peluang untuk melepaskan rindu di taman haiwan berkenaan.
Bermula dari kaunter pendaftaran sehingga ke pintu utama, prosedur operasi standard (SOP) dilakukan dengan ketat bagi menjamin keselamatan para pengunjung.
Menurut pengunjung Natasha Ann Kamaruddin, 36, segala perincian aspek SOP itu memberikan keyakinan kepada pengunjung untuk meneroka kawasan seluas 40.4 hektar itu.
“Memandangkan anak saya akan mula bersekolah pada minggu depan, jadi saya mengambil peluang ini. Sebenarnya (kehadiran ke Zoo Negara) sempena sambutan hari lahir kelima anak kedua saya.
“Jadi, saya bawa mereka sebab sepanjang PKP hanya duduk di rumah, dan ini boleh menghiburkan mereka,” katanya yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.
Bagi Cheng Jiewei, 35, pula kunjungannya ke Zoo Negara bersama keluarga adalah untuk menyokong pembukaan semula pusat riadah itu.
“Saya faham dah lama Zoo Negara tidak dibuka dan sebagai rakyat Malaysia, kita mahu menyokong Zoo Negara.
“Tambahan pula, hari ini ada potongan diskaun sebanyak 20 peratus untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
BACA: Zoo Negara kembali dibuka Jumaat ini
Lokasi ikonik di Malaysia itu bukan asing buat mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.
Namun, bagi mereka yang belum pernah menjejak kaki ke taman haiwan itu, promosi yang ditawarkan digunakan sebaik mungkin untuk merasai pengalaman pertama.
“Sebenarnya ini pertama kali saya datang dan pertama kali juga saya membawa anak saya. Sepanjang PKP, kami tidak ke mana-mana dan bila Zoo Negara dibuka hari ini, rasa seronok dapat bawa anak ke sini.
“Setakat ini, SOP dalam keadaan baik. Masa nak masuk juga dalam keadaan teratur dan saya pun tiba awal di Zoo Negara,” kongsi suri rumah, Norhafizah Arbain, 28.
Lebih menarik, selain dapat menyaksikan gelagat lebih 4,000 haiwan yang menghuni Zoo Negara, kumpulan kaki pancing juga boleh ‘melepaskan gian’ untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Pekerja sendiri, Ahmad Zaki Abdullah, 27, berkata dia dan kawannya tiba di Zoo Negara sekitar pukul 9 pagi untuk mencuba aktiviti berkenaan.
“Apabila Zoo Negara membenarkan aktiviti memancing, sebagai kaki pancing ia sangat mengujakan.
“Kami pun dah lama tidak memancing dan selepas ada lesen untuk melakukan aktiviti ini, saya ambillah peluang datang ke sini,” jelasnya.
Antara tarikan yang terdapat di Zoo Negara sudah pasti kehadiran pelbagai spesis haiwan yang berasal dari negara lain seperti unta, zirafah dan paling terkenal adalah panda pemberian dari China.
Setakat ini, hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu-satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang.
#Kuala Lumpur #Panda #China #COVID-19 #Zoo Negara dibuka #Ikon riadah negara #pencinta haiwan #PKPP #Memancing #Promosi Zoo Negara
;