Zoo Negara bertaraf antarabangsa pada 2017

Harits Asyraf Hasnan
September 20, 2015 11:56 MYT
Antara agensi yang terlibat dalam projek naik taraf Zoo Negara ialah JPS, FRIM dan NAHRIM.
Zoo Negara bakal berubah wajah pada tahun 2017 selepas proses menaik taraf menjadi zoo bertaraf antarabangsa dengan peruntukan RM70 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) siap sepenuhnya.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata antara agensi yang terlibat dalam projek naik taraf itu ialah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
"Kalau anda melihat perubahan apa yang kita lihat dahulu (dibandingkan) dengan apa yang kita lihat sekarang, kita lihat ada perubahan yang berperingkat. Banyak lagi tindakan daripada beberapa pihak, agensi dalam kementerian ini perlu dilakukan.
"JPS perlu mengenal pasti (masalah) perparitan dan saliran di sini dan akan membawa teknologi baru untuk kumbahan-kumbahan yang ada keluar daripada tempat ini dengan kos-kos yang tertentu.
"Begitu juga dengan NAHRIM, mereka perlu melakukan penapisan terutama melibatkan air kumbahan serta air tasik di mana saya mahu kualitinya mengikut piawai," katanya ketika sidang media pada lawatan kerja beliau ke Zoo Negara di sini hari ini.
Pada masa sama, Wan Junaidi mahu kempen promosi terhadap aktiviti serta tarikan menarik di Zoo Negara dilakukan dengan lebih progresif terutama di peringkat antarabangsa.
"Promosi ini perlu kita lakukan dengan lebih progresif terutama di peringkat antarabangsa supaya orang ramai lebih mengetahui apa yang menarik di sini.
"Kita juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk memastikan risalah maklumat mengenai Zoo Negara diletakkan di pusat-pusat pelancongan di seluruh dunia.
"Kita kena cerita apa yang menarik seperti kita menjadi negara terpantas mengawankan panda," katanya.
Mengulas berkenaan anak panda yang dilahirkan pada 18 Ogos lalu di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di sini, Wan Junaidi berkata petugas Zoo Negara telah berjaya mewujudkan suasana persekitaran yang sesuai dengan panda hingga ia selesa untuk mengawan dan melahirkan anak.
Pada masa sama, Wan Junaidi turut mengumumkan satu pertandingan untuk menamakan anak panda itu akan diadakan oleh kementeriannya dengan kerjasama Zoo Negara.
#Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia #Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia #Jabatan Pengaliran dan Saliran #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Zoo Negara