Zoo Melaka sasar 5,000 pengunjung sempena program MBLM esok

Bernama
Mei 31, 2024 12:15 MYT
Program MBLM merupakan antara inisiatif kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024. - Foto fail/BERNAMA
MELAKA: Zoo Melaka menyasarkan kemasukan kira-kira 5,000 pengunjung sempena pelaksanaan Program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) bermula esok, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron.
Beliau berkata untuk program itu pengunjung hanya dikenakan tiket serendah RM10 seorang yang boleh dibeli secara datang terus bermula 8 malam dan mereka akan dibenarkan masuk pada 10 malam sebelum zoo ditutup pada 1 pagi.
"Alhamdulillah setakat ini semua persiapan termasuk pencahayaan, keselamatan serta logistik berjalan lancar dan telah mencapai 90 peratus...kita berharap pengunjung dapat mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Zoo Melaka di sini lewat malam tadi
Beliau berkata 16 unit trem, bugi dan e-bas disediakan secara percuma kepada pengunjung yang disarankan menaiki kenderaan itu dan pergerakan mereka juga akan dipantau kerana hanya beberapa kawasan boleh dilawati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya kesemua kenderaan itu yang mampu membawa kira-kira 250 penumpang pada satu-satu masa akan berhenti di beberapa lokasi kandang haiwan antaranya gajah, zirafah, zebra serta harimau bintang dan perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit.
Sapiah berkata pengunjung juga dinasihatkan memakai kasut bertutup bagi melindungi daripada binatang berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan yang berkemungkinan keluar di waktu lewat malam dan gelap.
Selain itu, katanya kemudahan klinik dan pegawai perubatan turut disediakan sebagai langkah awal sekiranya berlaku insiden kecemasan melibatkan pengunjung dan sebanyak 75 petugas Zoo Melaka serta anggota penguat kuasa MPHTJ akan bertugas sepanjang pengoperasi program itu.
Dalam pada itu, beliau berkata hanya haiwan nokturnal atau yang aktif pada waktu malam dapat dilihat oleh pengunjung dan dianggarkan 200 haiwan nokturnal daripada kira-kira 60 spesies terdapat di Zoo Melaka.
Menurut Sapiah pertunjukkan haiwan juga akan diadakan iaitu pada 10.30 dan 11.30 malam, dengan bayaran tambahan RM10 seorang dikenakan kepada pengunjung yang ingin menyaksikannya.
Beliau berkata gerai jualan makanan dan minuman akan dibuka selain parkir kenderaan yang mencukupi disediakan di sekitar Dataran Sejarah bagi memudahkan pengunjung.
Program MBLM yang merupakan antara inisiatif kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), akan dilaksanakan pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula 11 malam hingga 2 pagi.
Ia menawarkan tiket masuk serendah RM10 bagi setiap destinasi pelancongan terlibat seperti Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Panggung Bangsawan dan Muzium Penjara.
-- BERNAMA
#Zoo Melaka #MBLM #pengunjung #pertunjukkan haiwan
;