Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kempen mengenai program itu sudah pun dimulakan beberapa bulan lepas sebagai antara usaha memastikan kebajikan dan pengurusan haiwan dapat dijalankan secara berterusan.
"Gerak kerja (haiwan angkat) telah dimulakan. Ada beberapa agensi negeri dan Persekutuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang sangat berminat untuk jadi keluarga angkat kepada haiwan zoo ini dan ia sangat kita alu-alukan.
"Kempen ini penting kerana makanan untuk haiwan di zoo agak mahal. Contohnya untuk gajah, setahun kita belanja dalam RM250,000 untuk makanan sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pembukaan semula Zoo Johor di sini pada Sabtu.
Berhubung pembukaan semula Zoo Johor, beliau berkata sehingga pukul 9.45 pagi tadi, taman haiwan yang akan beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang itu telah menerima 3,500 pengunjung.
"Pengunjung beratur seawal 7.15 pagi menyebabkan waktu pembukaan zoo pada hari ini diawalkan dari 9 pagi ke 8.30 pagi. Kita jangkakan hingga pukul 6 petang ini, lebih 10,000 orang akan berkunjung ke zoo ini," katanya sambil menambah Zoo Johor mempunyai 53 spesis haiwan melibatkan empat kumpulan iaitu mamalia, primat, reptilia dan burung.
Mohd Jafni berkata sempena pembukaan semula Zoo Johor bermula hari ini sehingga 30 Sept depan, kerajaan negeri memberi potongan 50 peratus untuk tiket dewasa, manakala kemasukan percuma bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, seorang pengunjung Elena Ho, 63, berkata kali terakhir dia datang ke Zoo Johor ialah 40 tahun yang lepas dan hari ini dia gembira dapat membawa cucunya berkunjung ke taman haiwan itu.
"Zoo sudah semakin kemas dan cantik. Beberapa tahun lepas, haiwan di zoo ini sangat sedikit tapi sekarang sudah berbeza. Cucu saya pun gembira melihat haiwan yang sangat banyak," kata pesara bank itu sambil mencadangkan supaya ada penambahan kaunter bagi melancarkan operasi penjualan tiket.
Seorang pekerja kilang S Angelena, 29, dari Ulu Tiram pula berkata ini kali pertama dia berkunjung ke Zoo Johor memandangkan anaknya yang berusia tiga tahun kerap meminta membawanya ke taman haiwan itu.
"Tahun lepas saya datang sebab anak nak pergi zoo, tetapi rupanya zoo ini ditutup. Saya kerap lihat perkembangan di media sosial dan ada yang beritahu akan buka hari ini. Cadangan saya untuk zoo ini supaya banyakkan aktiviti yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan haiwan," katanya.
Zoo Johor yang terletak di Jalan Gertak Merah di sini mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 4.73 hektar sebelum ditutup lebih tiga tahun kepada pengunjung akibat pandemik COVID-19 disusuli kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur.
-- BERNAMA