Zon Keselamatan Khas tidak bercanggah objektif ASEAN
Ashwad Ismail
Mac 13, 2013 19:15 MYT
Mac 13, 2013 19:15 MYT
Malaysia memberi jaminan kewujudan Zon Keselamatan Khas (SSA) di timur Sabah tidak akan menjejaskan pergerakan masyarakat ASEAN terutama dari Filipina untuk ke negeri itu.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, aktiviti sosio-ekonomi warga ASEAN di Sabah tidak terjejas dengan adanya zon berkenaan.
"Ini tidak akan menjejaskan pergerakan sebaliknya mengukuhkan keselamatan negeri Sabah," kata Anifah dalam sidang media selepas mengadakan taklimat khas berhubung perkembangan pencerobohan di Lahad Datu kepada duta-duta asing di Putrajaya.
Anifah menambah, Kuala Lumpur sentiasa menggalakkan aktiviti perdagangan dan mobilisasi warga serantau selaras dengan objektif serta matlamat penubuhan ASEAN.
Pada masa yang sama, Anifah memaklumkan pencerobohan di Lahad Datu yang didalangi kumpulan penyokong Jamalul Kiram III tidak menjejaskan hubungan Malaysia-Filipina.
Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak berkompromi terhadap sebarang tuntutan saki baki pengganas yang masih bebas di Lahad Datu.
"Pendirian Malaysia jelas, mereka perlu meletak senjata dan menyerah diri," kata Anifah.
Berhubung dakwaan wujud pihak ketiga dari Malaysia yang terlibat mendalangi pencerobohan, Anifah memaklumkan proses siasatan masih lagi berjalan.
"Selain fokus kepada mencari penyelesaian, pada masa yang sama siasatan terhadap kemungkinan penglibatan pihak ketiga akan dijalankan," kata Anifah.
Kuala Lumpur juga menyerahkan sepenuhnya kepada Manila untuk menentukan bentuk tindakan terhadap Jamalul Kiram III atas dakwaan mencetuskan keganasan.
Jelas Anifah, kesemua tahanan yang dipercayai suspek penceroboh masih lagi disiasat dan akan dibicarakan mengikut peruntukan undang-undang Malaysia.
Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang disiasat berhubung kaitan dengan pengganas Sulu dihantar pulang ke Filipina.
#ASEAN
#Filipina
#Jamalul Kiram III
#Lahad Datu
#Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman
#Sabah
#Zon Keselamatan Khas (SSA)