Zon Ekonomi Khas Johor: PM, MB Johor pengerusi mesyuarat khas 28 Feb
Firdaus Azil
Februari 21, 2024 16:45 MYT
Februari 21, 2024 16:45 MYT
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju untuk penyelarasan menyeluruh berkenaan pembentukan Zon Ekonomi Khas di Johor, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dalam satu sidang media pada Rabu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, satu mesyuarat khas antara Persekutuan dan Negeri akan diadakan pada 28 Februari ini, dengan melibatkan sejumlah kementerian yang berkaitan.
Tambahnya lagi, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Salah satu perkara yang dibincangkan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor, ini ditegaskan Perdana Menteri bahawa perlu ada satu penyelarasan menyeluruh, oleh itu satu mesyuarat khas Persekutuan dan Negeri akan diadakan pada 28 Februari ini.
“Ia bagi meneliti sejumlah perkara melibatkan pihak Persekutuan seperti Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi; Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Kewangan (MOF), dan juga Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya lagi.
Fahmi berkata, ia juga merupakan salah satu usaha untuk mempercepatkan perbincangan mengenai zon ekonomi khas tersebut, serta menentukan beberapa keputusan pembangunan kawasan tersebut.