Zon Bebas Kenderaan: Banda Hilir rekod lebih 120,000 pengunjung sempena cuti perayaan
Bernama
Februari 2, 2025 18:25 MYT
Februari 2, 2025 18:25 MYT
MELAKA: Lebih 120,000 pengunjung direkodkan membanjiri Banda Hilir setakat semalam sejak pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan pada 28 Jan lepas sempena cuti persekolahan dan perayaan Tahun Baharu Cina.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata secara purata kawasan tumpuan utama pelancongan itu menerima kunjungan sebanyak 33,000 orang setiap hari berdasarkan data 'Crowd Monitoring' MBMB.
"Sejak pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu juga peniaga di kawasan terbabit termasuk di Pahlawan Walk dibenarkan berniaga sepanjang tempoh terbabit hingga tengah malam Ahad.
"Kebanjiran pelancong sama ada dari dalam dan luar negara ini memberi limpahan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pengusaha produk pelancongan dan peniaga di kawasan itu yang berjumlah lebih 200 orang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada peniaga di kawasan itu ekoran 'kebanjiran' pengunjung sempena cuti kali ini.
Shadan berkata peniaga juga menzahirkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas kebenaran menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang tempoh berkenaan memandangkan peningkatan pengunjung turut membuka peluang mereka menambah rezeki.
"Seperti penganjuran program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 malam tadi yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan sempena Tahun Baharu Cina dengan dianggarkan 20,000 pengunjung telah hadir.
"Bagaimanapun kita yakin jumlah kedatangan pengunjung di Banda Hilir akan terus meningkat hingga mencecah lebih 200,000 orang memandangkan musim cuti sekolah ini masih berterusan hingga 16 Feb ini," katanya.
-- BERNAMA