Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kembali beroperasi

Bernama
Disember 4, 2017 19:28 MYT
Kelihatan pintu masuk zon bebas cukai Rantau Panjang dinaiki banjir berikutan limpahan air Sungai Golok pada 28 Nov lalu. - BERNAMA
Perniagaan di kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini, kembali beroperasi selepas pekan tersebut lumpuh akibat ditenggelami banjir seminggu lalu.
Tinjauan mendapati kesemua jalan masuk dan keluar di pekan berkenaan boleh dilalui semua jenis kenderaan dan peniaga sudah membuka premis perniagaan masing-masing.
Seorang peniaga pakaian, Rabiatul Rahimah Mat Hassan, 48, berkata sebaik keadaan banjir pulih dua hari lepas, beliau segera membersihkan kawasan premis daripada kesan bencana alam itu.
"Alhamdulillah, banjir kali ini cepat pulih dan membolehkan kami kembali memulakan perniagaan seperti biasa," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata kebanyakan barangan perniagaan tidak rosak kerana disimpan di bahagian lebih tinggi dalam kedainya itu.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit Nur Azlina Mohd Rosdi, 35, berkata kebanyakan barangan masih disimpan di bahagian tinggi sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang gelombang kedua banjir akan melanda pekan berkenaan.
"Barang tersebut akan dibawa turun apabila ada pelanggan mahu membelinya, kami terpaksa berbuat demikian kerana bimbang jika air dari Sungai Golok naik secara mendadak dan kami tidak sempat berbuat apa-apa," katanya.
Peniaga di kawasan zon bebas cukai itu akan berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir yang berulang sepanjang musim tengkujuh ini yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan. -- Bernama
#banjir #banjir kelantan #Rantau Panjang #Zon Bebas Cukai
;