Zon bebas cukai di Sarawak akan tingkatkan industri pelancongan

Bernama
Oktober 29, 2017 14:27 MYT
Bandar Miri boleh dianggap sebagai lokasi strategik untuk zon bebas cukai itu kerana kedudukannya berhampiran Brunei dan Sabah. - Gambar fail
Satu zon bebas cukai perlu diwujudkan di Sarawak untuk meningkatkan lagi produk pelancongan di negeri ini berikutan pengumuman tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel-hotel Malaysia (Cawangan Sarawak) John Teo Peng Yew berkata bandar Miri boleh dianggap sebagai lokasi strategik untuk zon bebas cukai itu kerana kedudukannya berhampiran Brunei dan Sabah.
"Sarawak perlu berusaha untuk mewujudkan zon bebas cukai yang mana Senadin di bandar Miri dijadikan lokasinya kerana kawasan itu dekat dengan sempadan Brunei," katanya kepada Bernama hari ini.
Teo berkata terdapat banyak produk yang boleh diisytiharkan bebas cukai seperti pakaian, peralatan memasak, kereta dan barangan makanan.
"Langkawi mungkin boleh dijadikan model yang baik untuk pengurusan zon bebas cukai," katanya.
Untuk rekod, jarak Senadin dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh adalah 20 minit pemanduan dengan lebih daripada tiga juta pelancong melalui pusat pemeriksaan itu setiap tahun.
Ia mencatatkan peningkatan pelancong yang ketara berikutan waktu operasi yang dilanjutkan sejak 1 Sept 2015 iaitu dari 6 pagi hingga 12 tengah malam berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini.
Perdana menteri yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2018 berkata, negara akan menjadi tuan rumah beberapa acara antarabangsa pada tahun 2020 antaranya Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel.
Tahun Melawat Malaysia yang pertama dilancarkan pada 1990 diikuti tahun 1994,2007 dan 2014.
-- BERNAMA
#Miri #pelancongan #Sarawak #tahun melawat malaysia #Zon Bebas Cukai
;