Zip Line, Laman Budaya Air Pancut Muzikal tarikan pelancongan baharu Shah Alam
Bernama
Mac 28, 2021 00:15 MYT
Mac 28, 2021 00:15 MYT
SHAH ALAM: Taman Tasik Shah Alam akan 'diserikan' dengan penambahan dua produk pelancongan baharu iaitu Zip Line (terbang kelawar atau flying fox) Shah Alam dan Laman Budaya Air Pancut Muzikal pada April depan susulan kejayaan pembukaan Taman Persahabatan Selangor-Jepun awal bulan ini.
Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan dalam sembah ucapnya berkata pembukaan kedua-dua produk pelancongan bermula 1 April depan bertujuan memaju dan memperkasa pelancongan tempatan terutama di Shah Alam.
Beliau berkata pengunjung yang ingin menyertai aktiviti zip line sepanjang 240 meter itu dibenarkan masuk secara percuma bermula 1 hingga 4 April sempena pembukaan aktiviti sukan lasak tersebut.
"Zip Line Shah Alam akan beroperasi mulai 1 hingga 12 April dari 10 pagi hingga 6.30 malam (Isnin dan Jumaat), 8.30 pagi hingga 6.30 petang (Sabtu dan Ahad) manakala bermula 14 April hingga 10 Mei dari 2 hingga 6.30 petang (Isnin hingga Ahad).
"Warga Shah Alam juga akan menerima pengurangan harga tiket sebanyak RM5 sepanjang masa daripada RM20 hingga RM40 (mengikut kategori), pelajar RM20 bagi dua sesi (terjunan)," katanya ketika sembah ucap Majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Air Pancut Muzikal di Laman Budaya pada Ahad.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan majlis itu.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohd Rashidi juga berkata pancuran berirama Laman Budaya Air Pancut Muzikal yang terletak di Tasik Barat di taman tasik itu akan bermula 2 April depan setiap Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum dari 8.15 malam hingga 10 malam.
Katanya pancuran dengan struktur air pancut' sepanjang 30 meter itu dilengkapi sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) berwarna-warni, audio dan pergerakan air beralun mengikut rentak muzik.
-- BERNAMA
#shah alam
#zip line
#Laman Budaya Air Pancut Muzikal
#pelancongan
#terbang kelawar
#flying fox
#Taman Persahabatan Selangor-Jepun
#Mohd Rashidi Ruslan