Zikir sambil 'goyang badan': Itu keputusan peribadi Pengerusi JFK - Dr MAZA

Astro Awani
April 21, 2015 11:22 MYT
DR MAZA: Zikir sambil 'goyang badan', itu keputusan peribadi Pengerusi JFK - Gambar fail
Keputusan tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil 'menggoyangkan badan' disifatkan keputusan peribadi Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK) Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin.
Mufti negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, jika tidak, keputusan itu berkemungkinan disalah lapor oleh media sendiri.
"Saya hadir dalam mesyuarat semalam 20hb April 2015 selaku ahli Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) dari awal sehingga akhir tanpa keluar walaupun sejenak.
"Mesyuarat semalam hanya memutus dua isu sahaja iaitu tentang kedudukan mangsa MH370 dan isu mereka yang terlibat dengan kumpulan IS.
"Tiada sebarang keputusan ataupun perbincangan mendalam tentang zikir menari dan hubungan habaib dengan tarekat Nasyabandi Haqqani," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya di sini hari ini.
Dr. Mohd. Asri mengulas keputusan Abd Shukor yang menyifatkan secara asasnya tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil 'menggoyangkan badan'.
Katanya, zikir yang dilakukan haruslah tidak keterlaluan.
Dalam pada itu jelas Dr. Mohd. Asri, banyak pertanyaan diberi mengenai isu mengharuskan zikir menari, hubungan golongan habib dengan tarekat Naqsyanbadi Haqqani dan lain-lain kepadanya.
"Bahkan ada anggota fatwa dari Pantai Timur yang mengingatkan tentang hubungan golongan tertentu dengan tarekat Haqqani, lirik yang menyanggahi syariat serta meminta pihak JAKIM agar mengelakkan hadir dalam majlis-majlis seperti itu. Pihak JAKIM juga memaklumkan mereka tidak pernah hadir.
"Namun, satu perbincangan rasmi untuk keputusan rasmi sama sekali tidak berlaku semalam.
"Buat rakyat Perlis khususnya, dan Malaysia umumnya, selaku anggota MFK saya menafikan terlibat dalam membuat keputusan yang membolehkan zikir menari seperti itu," ujarnya.
Jelasnya lagi, pendapatnya juga selari dengan kertas kajian Mufti Wilayah.
"Ia juga sama dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, juga pendapat yang disuarakan oleh Mufti Trengganu," katanya.
#JFK #maza #mfk #tarian #zikir
;