Zikir berdiri, goyang badan tidak bercanggah - Mufti Pahang

Sinar Harian
Julai 25, 2019 18:03 MYT
Abdul Rahman (gambar kecil) berkata, JAIP sudah buat kajian dan mendapati tiada unsur-unsur syirik dalam pengamalan zikir seperti didakwa. - Foto Sinar Harian
Amalan zikir sambil berdiri, berlari, duduk atau menggoyangkan badan tidak bercanggah dengan hukum Islam bahkan lebih baik daripada menari di khalayak.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah melakukan siasatan dan mendapati tidak ada asas untuk menuduh aktiviti beberapa jemaah lelaki dan wanita di sebuah kampung di Ulu Tembeling Jerantut itu sebagai sesat.
“JAIP sudah buat kajian tiada unsur-unsur syirik dalam pengamalan zikir seperti didakwa. Mereka hanya zikir Lailahaillallah sahaja. Menyebut nama ALLAH. Apa yang menjadikannya viral adalah kita jarang lihat zikir sambil menggoyangkan seluruh badan.
“Sebenarnya kita berzikir ni boleh duduk, baring, berlari, tiada masalah. Contoh orang yang beriadah, sambil beriadah dia berzikir tidak salah. Kajian dibuat, tidak menyalahi syarak dan tidak boleh dikatakan dia sesat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
BACA: Aktiviti ajaran sesat di Terengganu terkawal
Menurutnya, perbuatan menari di khalayak dan bercampur gaul lelaki dan perempuan itulah yang menyeleweng dari Islam namun manusia tidak melabelkan sesat kerana sudah terbiasa melakukannya.
“Tiada unsur syirik yang dicampurkan dalam amalan mereka. Bagi orang kita yang tak pernah nampak mungkin rasa janggal namun negara seperti di Balkan, Rusia menggerakkan badan sambil berselawat dan zikir menjadi amalan biasa.
"Bagaimanapun, kesilapannya penceramah sepatutnya perlu dapatkan kebenaran dulu daripada Majlis Agama Islam. Kita boleh terangkan perkara yang nak diamalkan. Jika terus buat amalan tanpa makluman ke pejabat kadi, itu yang jadi kecoh," katanya.
Abdul Rahman berkata, hasil siasatan turut disembahkan sebagai makluman kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah.
Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit 12 saat dan dua lagi klip berdurasi 22 saat didakwa berlaku di sebuah kampung di Jerantut pada 11 Julai lalu.
BACA: Terengganu belum putuskan status amalan zikir berdiri
Aktiviti berkenaan tular di Facebook dikatakan diketuai seorang lelaki berasal dari Terengganu.
Beliau berkata, hal berkenaan termasuk dalam zikir dan tiada perkara menyeleweng daripada agama Islam serta tiada percampuran antara jemaah lelaki dan perempuan.
“Kita sudah sembahkan kepada Tuanku YDPA. Amalan itu, diterima di negeri Pahang. Setakat berzikir dan menyebut ALLAH dia adalah lebih baik daripada anak-anak muda yang terpekik terlolong, menari dan bergaul bebas.
"Itu sebenarnya yang bercanggah dengan agama. Tapi kita tak kata mereka sesat kerana kita dah biasa dengan perangai yang buruk itu,” katanya.
#Abdul Rahman Osman #bercanggah agama #ceramah tanpa kebenaran #goyang badan #JAIP #Jerantut #menari #menyeleweng #mufti #Pahang #percampuran lelaki perempuan #Rusia #selawat #sesat #siasatan #syirik #terengganu #video #Yang di-Pertuan Agong #zikir berdiri
;