Zika masuk Malaysia: Lelaki warga Sabah disahkan kes tempatan pertama di negara ini
Astro Awani
September 3, 2016 17:52 MYT
September 3, 2016 17:52 MYT
Seorang lelaki warga Sabah disahkan dijangkiti virus Zika sekali gus menjadikannya mangsa jangkitan tempatan yang pertama di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu telah menerima satu kes jangkitan virus Zika tempatan yang pertama di Malaysia pada Jumaat.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata pesakit merupakan seorang lelaki berbangsa Dusun berusia 61 tahun dan menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah.
“Pesakit mula mengalami demam pada 27 Ogos, 2016 dan mendapatkan rawatan pada kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang di Kota Kinabalu pada 30 Ogos, 2016.
“Pada 31 Ogos 2016, pesakit mengalami demam yang lebih teruk, sakit otot serta diarrhea, dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2,” kata Dr Noor Hisham.
Tambahnya, pesakit juga mengalami 'co-morbids' iaitu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, penyakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan gout.
“Keadaan pesakit didapati agak serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital tersebut.
“Walau keputusan ujian dari Makmal Kesihatan Awam menunjukkan bahawa darah dan air kencing sampel pesakit didapati positif jangkitan Zika, namun keadaan pesakit yang agak serius kemungkinan bukan disebabkan oleh jangkitan Zika, tetapi disebabkan penyakit-penyakit lain yang dihidapi pesakit,” katanya.
KKM sedang menyiasat selanjutnya sejarah perjalanan pesakit dalam tempoh kebelakangan ini.
Tambah kenyataan itu, adalah didapati bahawa besar kemungkinan jangkitan Zika ini berpunca dari jangkitan tempatan memandangkan pesakit tidak pernah ke luar negara dalam tempoh kebelakangan ini.
Pada Khamis, KKM mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun dari Kelang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia. Beliau dipercayai dijangkiti virus tersebut selepas menziarahi anaknya yang menetap di Singapura bulan lalu.