Zika masuk Malaysia: Ibu hamil jangan panik, ambil langkah berjaga-jaga

Rahimah Abdullah
September 3, 2016 19:03 MYT
Menurut Rohani, kementeriannya juga sedia memberikan khidmat kaunseling kepada ibu hamil jika benar ada kalangan mereka yang dijangkiti virus berkenaan. - Gambar fail
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap ibu-ibu hamil agar tidak panik dalam berhadapan dengan masalah melibatkan jangkitan virus Zika.
Sebaliknya, beliau mahu mereka mengambil langkah pencegahan dalam memelihara kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
"Berjaga-jaga dan berhati-hati, tetapi jangan panik sebab satu (bimbang terhadap) kandungan. Kalau mereka stress atau panik, ia akan beri kesan kepada kandungan.
"Jadi, ambil langkah untuk memastikan seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia adalah zika atau tidak,"katanya dalam kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama peserta Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Bagaimanapun tegas Rohani, kerajaan sentiasa mengambil langkah intervensi jika berlaku jangkitan melibatkan penduduk terutama wanita hamil.
"Kalau tidak (dijangkiti) Zika, syukur Alhamdulillah, tetapi kalau Zika, ada 'intervention', bermakna kita sudah ambil langkah yang pertama hari ini untuk memastikan bahawa walaupun dijangkiti Zika, tetapi ada langkah-langkah untuk diambil untuk mengurangkan," jelas beliau.
Kementeriannya juga sedia memberikan khidmat kaunseling kepada ibu hamil jika benar ada kalangan mereka yang dijangkiti virus berkenaan.
"Kami akan memberikan khidmat kauseling untuk menangani trauma, denial, marah dan sebagainya. Namun kami akan bekerjasama Kementerian Kesihatan kalau ada mereka yang dijangkiti, kami akan sama-sama hadir khususnya kaunselor kami untuk memberi kaunseling, memaklumkan bahawa walaupun sudah kena Zika, tetapi kita buat segala intervensi untuk meminimakan apa jua simptom yang kena mengena dengan Zika," tambahnya.
Selain itu katanya, Talian Kasih dan Klinik Nur Sejahtera (15999) yang diwujudkan Kementeriannya juga sedia membantu orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan jangkitan zika.
"Kalau nak pergi klinik biasa, kalau tidak cukup tidak apa. Apa jua resources yang ada di kementerian saya, kita akan mobilise (menggerakkan) dan membantu bersama tetapi jangan panik kerana apabila panik kita tidak tahu membuat apa nak buat," ujarnya.
#ICAPP #Rohani Abdul Karim #Talian Kasih dan Klinik Nur Sejahtera #Zika
;