Zika: 'Bentuk jawatankuasa bersama anggota ASEAN' - Bastien
Wan Syamsul Amly
Ogos 29, 2016 20:41 MYT
Ogos 29, 2016 20:41 MYT
Negara ASEAN perlu mewujudkan jawatankuasa bersama untuk mencari langkah mengekang jangkitan virus Zika susulan beberapa kes yang dilaporkan di Singapura.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, jawatankuasa itu juga perlu menghantar makluman berkala kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai status virus berkenaan.
"Jawatankuasa itu juga perlu dianggotai saintis terkemuka dari negara terlibat. Ia bukan jawatankuasa berlandaskan politik tetapi saintis dan doktor pakar yang berkelayakan.
"Objektif harus jelas. Malaysia dan Singapura harus menunjukkan kepimpinan negara masing-masing dalam menangani isu ini dan kita yakin ia boleh menghapuskan kegusaran rakyat Johor sendiri," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menjelaskan, semua hospital utama di seluruh negara juga dilengkapi kemudahan ujian darah bagi mengesan virus Zika.
Sehingga Sabtu lalu, 784 sampel darah pesakit menunjukkan simptom Zika diuji dan semua keputusannya adalah negatif.
Dr Subramaniam juga menyarankan kepada rakyat Malaysia yang kerap ke Singapura terutama penduduk Johor, diminta melakukan ujian darah secara sukarela.
Dalam pada itu tegas Bastien, WHO juga perlu menghantar pakar untuk menentukan tahap keselamatan di negara anggota jawatankuasa.
"Ia akan dijadikan kajian kes dan tanda keprihatinan kepada rakyat selain langkah Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen untuk memperketat proses saringan dan meningkatkan amaran berkaitan virus Zika di semua pintu masuk negara terutamanya di Johor sendiri.
"Kita juga meminta pekerja-pekerja dari Malaysia di Singapura supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengikut panduan yang diberikan oleh Kerajaan Singapura bagi mengelak dijangkiti virus ini dan seterusnya menjadi pembawa virus ini ke Malaysia," jelasnya.
Sabtu lalu, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai pesakit pertama dijangkiti virus Zika di Singapura.
Wanita itu dipercayai tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent dan bekerja di Republik itu.