Ziarah waris, rupa-rupanya ziarah saudara sendiri

Astro Awani
Julai 20, 2014 09:05 MYT
Reezal Merican Naina Merican
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican tidak menyangka ziarahnya ke atas keluarga seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di Ukraine rupa-rupanya ziarah ke rumah ahli keluarganya sendiri.
"Ini kebetulan. Kalau saya tidak datang berjumpa, saya tak tahu," katanya semasa ditemui di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.
Reezal menziarah rumah keluarga Nur Shazana Mohamed Salleh, pramugari pesawat penerbangan MH17 yang terkorban dalam nahas pada Khamis itu.
Menurut Reezal, semasa berbual-bual dengan bapa Nur Shazana barulah beliau tahu mereka sebenarnya ada hubungan kekeluargaan biarpun agak jauh.
"Saya tidak ada perkataan yang tepat untuk gambarkan," katanya, merujuk apa yang dialami oleh keluarga itu tetapi yakin mereka akan tabah menghadapinya.
Menurut bapa Nur Shazana, Mohd Salleh Samsudin, keluarga itu mengetahui mengenai berita nahas selepas dihubungi seorang rakannya dari Amerika Syarikat pada pukul 11 malam sebelum menghubungi MAS untuk maklumat lanjut.
Menurut Sharom, Nur Shuzana adalah anak sulung kepada empat beradik dan sentiasa bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari.
Cita-citanya itu tercapai dan telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional itu sejak sembilan tahun lalu.
Dalam pada itu, Reezal yang juga alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merakamkan takziah kepada keluarga dua bekas pelajar universiti itu yang turut terbunuh dalam nahas tersebut.
Dua alumni itu ialah ialah bakal pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Mohd Ali Abdul Samad serta pembantu juruterbang, Ahmad Hakimi Hanapi.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Reezal Merican Naina Merican #Rusia #Ukraine
;