Ziarah Aidilfitri di zon PKPB Sarawak dibenarkan pada tiga hari pertama sahaja

Bernama
Mei 5, 2021 14:53 MYT
Ziarah Hari Raya Aidilfitri di dalam kawasan di bawah zon PKPB di Sarawak dihadkan untuk tempoh tiga hari pertama perayaan itu sahaja. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Ziarah Hari Raya Aidilfitri di dalam kawasan di bawah zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dihadkan untuk tempoh tiga hari pertama perayaan itu sahaja.
Berdasarkan garis panduan terbaru sambutan itu yang dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) hari ini, tempoh ziarah antara 1 Syawal dan 3 Syawal itu hanya dibenarkan untuk menziarahi keluarga terdekat di dalam zon berkenaan.
Semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk membenarkan sambutan Aidilfitri selama tujuh hari di negeri ini bermula 1 hingga 7 Syawal dengan kehadiran dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.
Bagaimanapun MIS mengekalkan keputusan JPBN membenarkan solat sunat Aidilfitri di semua masjid, surau, musolla dan premis yang mendapat kebenaran Majlis Islam Sarawak sahaja dengan bilangan jemaah dibolehkan berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter.
Namun solat sunat Aidilfitiri di masjid atau surau, Ziarah Hari Raya dan ziarah kubur tidak dibenarkan di kawasan yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
-- BERNAMA
#ziarah aidilfitri #zon PKPB #perintah kawalan pergerakan #PKP #Sarawak #hari raya #syawal #JBPN Sarawak