Zeti harap dapat selesaikan isu 1MDB sebelum bersara

Nurulhana Ismail
Februari 23, 2016 11:43 MYT
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap siasatan terhadap 1MDB dapat diselesaikan sebelum bersara pada April.- Foto Astro Awani
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan sebelum beliau bersara pada April.
Beliau berkata ketika ini, tumpuannya terarah kepada menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB sebelum menyerahkan tugasan sebagai gabenor bank pusat itu kepada penggantinya.
"Tumpuan saya kini terarah kepada menyelesaikan siasatan 1MDB sebelum saya bersara. Saya harap apabila saya menyerahkan jawatan ini kepada pengganti saya nanti, tiada lagi lanjutan daripada kes ini, " kata beliau pada pemberita selepas upacara pecah tanah tapak pembinaan Kampus Asia School of Business (ASB) di ibu negara pada Selasa.
Sementara itu, mengulas mengenai mengenai penyusutan keyakinan masyarakat terhadap media, kerajaan, perniagaan dan NGO melalui Tinjauan Barometer Kepercayaan Edelman baru-baru ini, Zeti berkata Bank Negara sentiasa mengambil langkah mengukuhkan institusi itu daripada segala aspek yang dapat menjejaskan kredibiliti serta kecekapan bank pusat.
"Kami sentiasa berusaha mengukuhkan keupayaan dan daya tahan bank pusat dan ini telah dibuktikan dengan polisi yang diguna pakai berjaya menampan institusi ini dari segala aspek yang dapat menjejaskannya," ujar beliau.
Tambah Zeti rata-rata rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Bank Negara terutama dalam berhadapan waktu sukar ketika ini.
Katanya berbanding negara lain yang mengalami gangguan aliran kredit yang membantutkan perniagaan, bank pusat berjaya mengekalkan aliran positif serta berjaya menampan daripada berhadapan situasi seumpama itu.
#1MDB #Bank Negara #BNM #Tinjauan Barometer Kepercayaan Edelman #Zeti