Zeti berhak ambil tindakan guaman terhadap Najib

Bernama
Julai 3, 2018 18:00 MYT
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz enggan ulas dakwaan Datuk Seri Najib berhubung akaun bank RM2.6 bilion selepas menyifatkan ia satu kes ketika ini. - Foto BERNAMA
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhak mengambil tindakan guaman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaannya mengenai dana RM2.6 bilion.
Tegas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kementerian itu menaruh sepenuh keyakinan ke atas integriti dan kredibiliti Zeti.
"Saya yakin ke atas Zeti. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan dan biar dia mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Najib dalam satu temu bual bersama portal berita tempatan mendakwa Zeti, ketika menjadi gabenor BNM, mengetahui mengenai RM2.6 bilion dalam akaunnya (Najib) sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun tidak mempersoalkan perkara itu.
Dalam temu bual itu, Najib sekali lagi menyatakan wang berjumlah RM2.6 bilion itu merupakan derma daripada anggota keluarga Diraja Arab Saudi.
Sementara itu, Zeti yang ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini enggan mengulas ketika ditanya mengenai akaun bank RM2.6 bilion itu.
"Saya tidak mahu mengulas mengenainya sekarang kerana ia merupakan satu kes... saya tidak boleh beri komen mengenainya sekarang. Namun, pada satu tahap, anda akan dapat komen itu," katanya.
- BERNAMA
#Datuk Seri Najib Razak #derma #Lim Guan Eng #RM2 6 bilion #Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
;