Zayn Rayyan alami masalah pertuturan serius - Doktor

Sinar Harian
Mac 12, 2025 15:50 MYT
Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap Zayn Rayyan (foto kecil). -Sinar Harian/Bernama
PETALING JAYA: Doktor yang membuat laporan perubatan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bahawa ketika berusia dua tahun, kanak-kanak autisme itu mempunyai tahap pertuturan yang serius.

Ringkasan AI
  • Doktor melaporkan Zayn Rayyan mempunyai masalah kelewatan pertuturan yang serius sejak berusia dua tahun.
  • Zayn Rayyan didiagnosis sebagai receptive and expressive language delay.
  • Saksi berkata, berdasarkan pemahamannya, pesakit menunjukkan tanda yang jelas ketika menjalani terapi, membabitkan perbezaan tahap usia ketara.

Saksi pendakwaan ke-23, Dr Nur Hanisah Abd Nasir berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Beliau yang bertugas di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh berkata, Zayn Rayyan didiagnosis sebagai ‘receptive and expressive language delay’.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, saksi berusia 37 tahun itu berkata, berdasarkan pemahamannya, pesakit menunjukkan tanda yang jelas ketika menjalani terapi, membabitkan perbezaan tahap usia ketara.
“Mengikuti rekod klinikal, kali terakhir pesakit ini menerima rawatan di Jabatan ORL ialah pada 29 Oktober 2019 sementara mengikuti terapi pada 30 Disember tahun sama.
“Pada mulanya, Zayn Rayyan mendapatkan rawatan selepas mengeluh kerana sakit telinga bernanah.
“Selain itu hasil pemeriksaan juga mendapati kanak-kanak itu mempunyai masalah kelewatan pertuturan,” katanya.
Beliau berkata, bagi pesakit berusia dua tahun, pihak hospital akan memulakan dengan ujian percubaan yang mana pesakit perlu mengikut arahan secara bermain.
Menurutnya, pesakit ini tidak berminat dan tidak dapat ikut arahan, maka tarikh temu janji baharu diberikan untuk ujian pendengaran semula.
“Semasa ujian kita akan beri arahan supaya pesakit melihat satu jenis patung dan pegawai perubatan akan memberi arahan kepada kanak-kanak.
“Bagi Zayn Rayyan, dia dilihat kurang berminat, tidak mengikut arahan dan tak mahu main dengan patung itu,” katanya.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Syahliza Warnoh bersambung Khamis. -Sinar Harian
#Zayn Rayyan #masalah kelewatan pertuturan #Nur Hanisah Abd Nasir #receptive and expressive language delay
;