Zamri Zainal Abidin dilantik CEO baharu Yadim
Bernama
Februari 15, 2023 19:23 MYT
Februari 15, 2023 19:23 MYT
PUTRAJAYA: Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, Zamri Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Yadim menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Zamri adalah bagi menggantikan Tuan Kamarul Arief Tuan Soh yang telah memegang jawatan itu sejak 2019.
Menurut Yadim, Zamri yang berkelulusan Universiti Al-Azhar berpengalaman luas dalam pentadbiran awam kerana pernah bertugas di beberapa agensi kerajaan sebelum ini.
Kenyataan itu memaklumkan, sebelum dilantik sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, Zamri pernah menjawat jawatan Setiausaha Kanan kepada Exco Agama Islam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pegawai Khas Hal Ehwal Islam kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Penerbit Rancangan Kanan Radio Ikim.FM di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)," menurut kenyataan itu.
Yadim berharap pengalaman Zamri dapat memacu yayasan itu selaku agensi peneraju gerakan dakwah bagi menjayakan peranan menyebar luas rahmah Islam selaras konsep Malaysia Madani.
Konsep Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Jan lepas, diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
- BERNAMA