Zamihan, sudah-sudahlah burukkan ulama - Dr MAZA
Mariah Ahmad
Februari 8, 2016 19:55 MYT
Februari 8, 2016 19:55 MYT
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin dinasihatkan untuk tidak memberikan gelaran yang buruk kepada ulama.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebagai seorang yang berpendidikan, tidak wajar bagi Zamihan untuk memaki hamun, membuat tuduhan yang bukan-bukan serta mengucap perkataan yang tidak sepatutnya.
"Marilah kita hidup secara harmoni walaupun kita berbeza fekah. Agama tidak menyuruh kita seragam dalam semua perkara tapi menyuruh supaya tahu menguruskan perbezaan.
"Adapun saya, saya menganggap Zamihan saudara seagama, sekali pun saya tidak bersetuju dengan akhlak, cara dan fahamannya," kata Mohd Asri dalam satu status Facebooknya hari ini.
Beliau juga berkata golongan ilmuan agama sepatutnya bersama rakyat memperjuangkan masalah mereka, bukan sibuk menuduh sesama orang Islam yang tidak terbabit sebagai sesat dan pengganas.
Sementara itu, Mohd Asri memberi tempoh kepada Zamihan sehingga 17 Feb ini untuk menentukan tarikh berdebat dengannya.
"Selepas tarikh 17hb berkenaan, jika beliau masih tidak mahu, saya anggap 'tutup kes'.
"Saya akan banyak ke luar negara selepas itu. Saya harap beliau berhentilah mencerca dan memfitnah. Jika beliau tidak mahu dialog, saya tidak memaksa. Beliau yang sebenarnya memulakan idea ini," tambah Mohd Asri dalam kenyataan yang sama.
Mohd Asri dan Zamihan difahamkan akan menyertai satu sesi wacana ilmu yang dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pada 4 Feb lepas, Shahidan menerusi Facebooknya menulis, satu wacana ilmu berhubung ekstremisme agama akan diadakan, di mana panel yang dijemput untuk membincangkan diskusi berkenaan adalah Mohd Asri dan Zamihan.
Shahidan juga berkata hanya 500 tetamu di kalangan kerajaan dan para ilmuan dijemput untuk menghadiri majlis berkenaan.
Jumaat lalu, Shahidan telah mencadangkan 10 Feb sebagai tarikh bagi wacana berkenaan dan ia dipersetujui Mohd Asri dan Zamihan.
Namun pada Sabtu, Shahidan berkata Zamihan sibuk pada tarikh tersebut kerana urusannya di Penjara Machang.
"Saya merayu kepada Zamihan agar menerima tarikh tersebut seperti yang dicadangkan. Saya akan pastikan majlis tersebut berjalan dengan lancar. Kita boleh memilih moderator yang adil.
"Saya sanggup minta Dr Mohd Asri untuk memberi masa yang lebih kepada Zamihan," kata Shahidan dalam status Facebooknya Sabtu lepas.
Semalam, Shahidan kemudiannya mencadangkan beberapa tarikh kepada Zamihan untuk menyertai wacana ilmu tersebut.