Zambry yakin isu dua hala Malaysia-Singapura dibincang dalam konteks konstruktif
Bernama
Januari 30, 2023 08:50 MYT
Januari 30, 2023 08:50 MYT
SINGAPURA: Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yakin isu-isu dua hala melibatkan Malaysia dan Singapura akan dapat terus dibincangkan dalam "konteks yang konstruktif dan secara produktif."
Ia sangat penting untuk kedua-dua negara mengadakan sesi perbincangan atau 'negotiation' (rundingan) yang boleh memberikan keputusan yang baik "bukan untuk sebelah pihak tetapi kedua-dua belah pihak."
Zambry berkata demikian ketika ditemui media Malaysia di sesi 'Meet and Greet' lewat malam tadi sejurus melakukan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau berada di Singapura sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik ini hari ini. Anwar dijangka tiba sekitar 9.30 pagi.
Menurut Zambry pertemuan beliau dan Balakrishnan adalah bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan dua hala dan juga persiapan awal untuk kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pada hari ini.
"Kami turut berbincang beberapa hal yang berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara yang memerlukan persefahaman bersama untuk kita selesaikan.
"Daripada segi isunya tidaklah begitu banyak yang memerlukan langkah-langkah segera untuk kita selesaikan, namun ia melibatkan beberapa perkara penting untuk dilihat secara bersama dan membuat keputusan bersama," katanya.
Antara isu berkaitan termasuklah 'Maritime Boundary Delimitation', 'Flight Information Region' dan juga melibatkan beberapa hal lain daripada segi perjanjian bersama yang telah dibuat selama ini.
Menteri itu berkata Malaysia dan Singapura selama ini mempunyai persamaan dan harapan sama untuk melihat rantau ini berada dalam keadaan yang baik.
"Dalam erti kata lain perbincangan atau 'negotiation' (rundingan) begini perlulah diteruskan atas semangat hubungan kejiranan yang baik dengan niat yang baik dan matlamat yang benar-benar baik ataupun 'genuine desire' untuk kita selesaikan pelbagai isu.
"Ia supaya setiap perkara yang dibincangkan itu tidak akan menyebelahi satu pihak sahaja tetapi ia hendaklah dapat mencapai satu keputusan secara menang-menang dan yang akan boleh membawa hasil daripada keputusan yang dibuat itu untuk kita melangkah ke hadapan secara lebih baik di masa akan datang," jelasnya.
Malaysia, katanya, mengharapkan sebarang bentuk perbincangan atau 'negotiation' yang dibuat kelak tidak akan bersifat 'zero-sum game'.
"Kita ingin mendapatkan keputusan yang benar-benar konstruktif. Ini juga melibatkan hal yang berkaitan dengan sempadan laut yang selama ini mungkin menjadi isu dan juga perhatian di peringkat Malaysia," katanya.
Dalam rangka lawatan satu hari pada hari ini, jadual padat menunggu perdana menteri yang turut dijangka melakukan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya Lee Hsien Loong di Istana.
-- BERNAMA