Zambry mulakan lawatan rasmi pertama ke Iraq mulai Rabu
Bernama
Ogos 23, 2023 11:05 MYT
Ogos 23, 2023 11:05 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Iraq mulai Rabu (23 Ogos) hingga Jumaat (25 Ogos) atas jemputan rakan sejawatannya Dr Fuad Hussein yang juga Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Antarabangsa dan Menteri Luar Iraq.
Semasa lawatan itu, Zambry dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas para pemimpin Iraq dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Fuad bagi menyusul perbincangan yang berlangsung di luar Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Peringkat Menteri Luar pada 5 Julai 2023.
"Pertemuan ini akan memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Iraq, selain meneroka bidang kerjasama baharu yang mempunyai kepentingan bersama," menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu.
Zambry juga akan mengambil peluang mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Iraq di Baghdad bagi meneroka potensi ekonomi antara kedua-dua negara.
Lawatan Zambry ke Iraq merupakan kunjungan rasmi pertamanya ke Iraq sejak memegang jawatan itu pada 2 Dis, 2022 dan akan diiringi pegawai kanan Wisma Putra serta delegasi perniagaan.
Iraq merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh terbesar dalam kalangan negara di Asia Barat.
Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM4.68 bilion (US$1.07 bilion), meningkat 24.3 peratus berbanding RM3.76 bilion (US$0.91 bilion) pada 2021.
-- BERNAMA