Zambry mahu terus "merakyatkan" Wisma Putra, polisi luar negara
Bernama
Disember 8, 2023 10:30 MYT
Disember 8, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyasarkan untuk terus "merakyatkan" Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam usaha menghebahkan kepentingan polisi luar negara kepada umum dan global.
Justeru, beliau berharap menerusi peranan media tempatan dan antarabangsa yang signifikan hari ini, usaha itu dapat dipergiatkan dan mencapai matlamat supaya rakyat dapat memahami dengan lebih baik.
"Kerana saya tahu bahawa selama beberapa tahun, kami dilihat agak jauh daripada orang ramai yang kadangkala tidak tahu apa tugas kami, terutama dalam hal melibatkan dasar.
"Rakyat perlu tahu menerusi cara dan penggunaan bahasa yang paling mudah kerana mereka sukar untuk memahami bahasa diplomatik. Oleh itu, kita perlu mendekati mereka supaya mereka tahu apa yang cuba kita sampaikan.
"Dengan kepimpinan Perdana Menteri kita dalam dunia hari ini untuk membawa nama Malaysia dan mendapatkan pengiktirafan serta penghormatan, kami memerlukan sokongan anda (pihak media) kerana anda (media) yang dapat membantu membentuk masa depan negara kita," kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha, Datuk Amran Mohamed Zin; Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia, Datuk Ahiruddin Attan; Presiden Kelab Koresponden Antarabangsam Norman Goh dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga menanggung tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nur-ul Afida Kamaludin.
Seramai 160 pengamal media turut hadir menyerikan majlis itu. - BERNAMA