Zambry bincang situasi di Palestin dengan rakan sejawat dari Iran, Palestin
Bernama
Oktober 17, 2023 15:20 MYT
Oktober 17, 2023 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatannya di Iran dan Palestin berhubung situasi kritikal di Palestin, di tengah-tengah serangan udara Israel ke atas wilayah Palestin.
Semasa perbualannya dengan Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian, Zambry berkata kedua-dua mereka berazam dalam mencari jalan untuk menangani konflik Israel-Palestin, terutamanya situasi kemanusiaan melibatkan warga Palestin yang tidak bersalah.
Dalam hantarannya di X pada Selasa, Zambry berkata mereka akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, pada Rabu.
Dalam pada itu, Agensi Berita Iran (IRNA) melaporkan bahawa semasa perbualan telefon dengan Zambry, Hossein menyeru pembukaan koridor kemanusiaan di Gaza di mana penduduk awam menjadi mangsa serangan udara berterusan tentera Israel dan sekatan penuh oleh rejim Israel.
Diplomat tertinggi Iran itu berkata usaha menghentikan jenayah perang terhadap orang awam di Gaza dan sekatan kemanusiaan adalah isu paling penting pada masa ini.
"Jenayah perang berterusan terhadap penduduk awam dan genosid oleh rejim Zionis tidak mempunyai sempadan. Rejim ini telah memusnahkan sebuah hospital kanak-kanak di Gaza menggunakan bom fosforus dan membunuh kanak-kanak yang dirawat di sana," kata beliau kepada rakan sejawatannya dari Malaysia.
Sementara itu, Zambry menerima maklumat terkini situasi semasa di Palestin semasa panggilan telefonnya dengan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.
Zambry berkata rakyat Palestin sedang berdepan serangan Israel dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal.
"Terdapat keperluan mendesak untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza," kata beliau.
Zambry juga memberi jaminan kepada diplomat tertinggi Palestin bahawa rakyat Malaysia akan terus menyokong perjuangan Palestin dan akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk tujuan itu.
-- BERNAMA