Zambry bertemu lebih 80 pesuruhjaya tinggi, duta asing
Bernama
Februari 1, 2023 11:33 MYT
Februari 1, 2023 11:33 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Selasa menghadiri sesi dialog bersama lebih 80 pesuruhjaya tinggi dan duta asing ke Malaysia dari pelbagai negara dan benua.
Zambry berkata, beliau dimaklumkan oleh ketua-ketua perwakilan yang hadir bahawa ini merupakan kali pertama seorang menteri luar mengadakan pertemuan dengan seluruh kedutaan asing dan mengadakan dialog terbuka dengan mereka.
Dalam majlis yang dianjurkan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Zambry berkata, ketua-ketua perwakilan yang hadir mengharapkan Malaysia akan terus aktif dalam menyuarakan setiap pendapat dan pandangan di peringkat global.
"Pada masa sama, masing-masing mengharapkan hubungan Malaysia dengan negara mereka dapat dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan awal pagi Rabu.
Menurut Zambry, hubungan keakraban sebegini perlu diteruskan bagi mewujudkan penyampaian maklumat dan interaksi secara langsung kepada pihak kedutaan asing yang berada dalam negara.
"Saya sempat berkongsi beberapa visi, misi dan harapan Kementerian Luar dan juga Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri," katanya.
Sebagai Menteri Luar, Zambry melahirkan harapan dan keyakinan untuk melihat Malaysia terus hebat dan cemerlang di kalangan negara-negara ASEAN, Asia dan dunia melalui peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia di persada antarabangsa. - BERNAMA