Zambry adakan mesyuarat dua hala dengan rakan NAM dari tujuh negara
Bernama
Julai 7, 2023 05:20 MYT
Julai 7, 2023 05:20 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari tujuh negara di luar Mesyuarat Menteri-menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku, Azerbaijan pada Rabu.
Mereka terdiri Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Iraq Dr Fuad Muhammad Hussein, Menteri Luar Iran Hossein Amir Abdollahian, Menteri Luar Nepal Narayan Prakash Saud, Pemangku Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Sudan Selatan Deng Dau Deng Malek, Menteri Luar Turki Hakan Fidan dan Menteri Luar Venezuela Yvan Gil-Pinto.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa semasa pertemuan Zambry dengan rakan sejawatannya dari Iraq, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala.
"Timbalan Perdana Menteri Iraq telah memanjangkan jemputan kepada Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha pembinaan semula negara Iraq yang sedang dalam proses pemulihan selepas era perang yang berpanjangan.
Ketika pertemuan dengan rakan sejawat beliau dari Azerbaijan, Zambry merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Azerbaijan atas kejayaan menjadi pengerusi NAM dari tahun 2019 sehingga kini, dengan NAM aktif menyuarakan pandangannya mengenai pelbagai isu yang berkepentingan bersama di arena antarabangsa.
"Selain itu, kedua-dua menteri luar negeri juga bersetuju untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala yang kini telah mencapai ulang tahun ke-30 pada tahun ini," menurut Wisma Putra.
Sementara itu, pertemuan dengan Menteri Luar Turki, perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan Malaysia-Turki.
Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Zambry semasa pertemuan dua hala, termasuklah masalah syarikat Malaysia di luar negara, meningkatkan kerjasama, potensi perdagangan dan pelaburan baharu serta isu-isu berkepentingan bersama.
"Permintaan tinggi untuk pertemuan dua hala bersama Zambry memaparkan kredibiliti Malaysia sebagai negara anggota NAM yang dinamik, berpengaruh dan sentiasa tegas dalam menyuarakan pandangan terhadap krisis semasa serantau dan global," menurut Wisma Putra. - BERNAMA