Zaman berutus surat tinggal nostalgia

Salim Aziz
Oktober 9, 2018 09:32 MYT
Che Mohamad mengenang kembali zaman dahulu apabila surat sama ada dipos melalui posmen yang masuk ke kampung atau dimasukkan sendiri ke dalam tong surat yang diletakkan di simpang jalan. - Gambar hiasan
Sekitar lewat tahun 70an, penghantar surat atau posmen, menjadi orang perantaraan yang terpenting bagi anak-anak muda di kampung.
Pada ketika itu, tidak perlu tunggu musim perayaan, kelibat mereka begitu dinanti walaupun pada hari-hari biasa.
Mengimbau kembali nostalgia berutus surat, seorang kakitangan kerajaan, Che Mohamad Che Sa, 57 tahun, berkata dia antara salah seorang yang sempat merasai keindahan zaman itu.
Berutus surat tulisan tangan yang diletakkan bedak untuk berbau wangi, adalah nostalgia yang tidak mungkin berulang, katanya.
Masih segar di ingatan, apabila dia mula berutus surat sejak usianya belasan tahun.
Ketika itu, setiap satu setem cuma dijual pada harga 15 sen, sementara surat boleh dipos melalui posmen yang masuk ke kampung atau dimasukkan sendiri ke dalam tong surat yang diletakkan di simpang jalan.
"Masih ingat lagi ketika itu, semuanya indah. Mungkin kami orang-orang muda fikir, tiada sebarang masalah. Semua yang indah sahaja. Pukul 11 pagi, kami tidak ada motosikal, cuma ada basikal, jadi kami akan tunggu di kedai tempat posmen akan sampai.
"Lebih kurang pukul 10.30 hingga 11.30, posmen akan lalu dan berhenti di kedai, serta membahagi-bahagikan surat. Kemudian dia beredar. Kami pun cepat-cepat belek surat yang diterima. Kalau ada surat kami, seronok sangat.
"Zaman itu, guna surat sahaja. Kalau nak guna telefon pun, dalam satu kampung mungkin hanya ada satu rumah sahaja yang ada telefon," katanya.
BACA: 'Tepuk-tepuk surat, keluar bedak berbau wangi'
Berkongsi cerita, kata Che Mohamad, rata-rata kenalannya diperolehi dari sebuah majalah hiburan yang ketika itu terkenal dengan ruangan untuk berkenalan.
Menggunakan nama pena 'Unggas Malam' dan 'Leo Boy 62', dia berkata, salah seorang kenalan itu akhirnya menjadi isterinya, Zaleha Abdul Rahman, 53 tahun.
Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 Okt oleh pentadbiran pos di seluruh dunia termasuk di Malaysia sebagai ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia pada 1874 di Bern, Switzerland.
#berkenalan #Hari Pos Sedunia #kampung #nostalgia #posmen #surat
;