'Zam, sila buktikan tuduhan JASA dapat arahan serang TPM' - Dr Mohd Puad

Astro Awani
Mei 24, 2015 01:05 MYT
Zainuddin (gambar) digesa mengemukakan bukti bahawa pendedahan di akaun Facebook tentang kedaifan sekolah pedalaman Sabah adalah atas arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia. -Gambar fail
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin digesa mengemukakan bukti bahawa pendedahan di akaun Facebook tentang kedaifan sekolah pedalaman Sabah adalah atas arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat gesaan itu dalam satu kenyataan kepada media pada Sabtu.
Kata Dr Mohd Puad, status berkenaan sekolah daif itu dimuat naik atas rasa tanggungjawab kepada sebarang aduan rakyat.
“Saya harap Zam (Zainuddin) tidak terlalu taksub kepada individu tertentu sehingga lupa tanggungjawab kita untuk membela sekolah sekolah daif di pedalaman.
“Maka adalah palsu tuduhan Zam bahawa status dalam Facebook saya mengenai kedaifan sekolah pedalaman Sabah adalah atas arahan Ahmad Shabery.
“Saya minta Zam buktikan tuduhannya itu. Jangan nanti Zam akan diingati sebagai bekas Menteri Penerangan yang bercakap tanpa asas seperti yang tersiar dalam wawancara dengan Al Jazeera beberapa tahun yang lalu,” katanya.
Dr Mohd Puad turut mempersoalkan sikap Zam yang seolah-olah pilih kasih dengan keluhan rakyat.
“Jika Zam boleh mengkritik boleh mengkritik Perdana Menteri dalam isu 1MDB, kenapa mesti tutup mulut dalam isu yang dibangkitkan oleh rakyat apatah lagi dalam soal pendidikan,
“Apakah Zam lebih mengutamakan imej individu dan bukan isu pokok iaitu sebuah sekolah yang amat daif demi keadilan kepada rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Zam jangan lupa bahawa saya pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan, maka bukan keterlaluan jika saya menyarankan Menteri atau Timbalan Menteri turun ke bawah,” kata Dr Muhd Puad.
Dr Muhd Puad baru-baru ini menulis di Facebooknya bahawa sikap malas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan punca sekolah di Keningau, Sabah serta beberapa lagi sekolah pedalaman masih berada dalam keadaan daif.
Status tersebut kemudian dibidas Zam dalam entri terbaru blognya yang bertajuk ‘Menteri Komunikasi arah JASA serang Tan Sri Muhyiddin’ pada Jumaat.
#Dr Mohd Puad Zarkashi #Sekolah pedalaman #Zainuddin Maidin