Zam, perginya permata kewartawanan negara

Bernama
Disember 14, 2018 05:00 MYT
Penulisan tajam dan kritis Allahyarham dalam ruangan pojok 'Awang Selamat' diikuti banyak pihak, baik rakyat biasa mahupun para pemimpin negara serta ahli politik. - Sinar Harian
Malaysia hari ini kehilangan seorang ikon kewartawanan negara berikutan pemergian Tan Sri Zainuddin Maidin, seorang penulis prolifik yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa khususnya dunia politik.
Allahyarham berusia 79 tahun meninggal dunia di Hospital Serdang 6.40 petang Jumaat akibat serangan jantung.
Sebelum ini, beliau dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 Nov dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.
Bukan sahaja lantang dalam menyuarakan pandangan menerusi penulisan karya di media dan buku-buku, Zainuddin turut menceburkan diri dalam bidang politik dan merupakan bekas Menteri Penerangan dari 2006 hingga 2008.
Zainuddin dillantik dalam satu rombakan kecil kabinet dan mengangkat sumpah sebagai menteri pada 17 Feb 2006.
Dilahirkan pada 26 Jun 1939 di Kota Kuala Muda, Kedah, Zainuddin, yang lebih dikenali dengan panggilan Zam, memulakan kariernya sebagai wartawan sambilan di Warta Negara dan seterusnya sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia pada usia 18 tahun.
Kerjaya beliau bersama akhbar berbahasa Melayu paling tua negara berlanjutan sehingga beliau dilantik sebagai koresponden di Kedah dan Perlis.
Beliau dilantik sebagai wartawan tetap di Utusan Malaysia pada 1961 sebelum mendaki puncak kerjaya sebagai Ketua Wartawan, Editor Berita, Ketua Biro Pulau Pinang dan penulis rencana serta dihantar ke London sebagai koresponden di samping bekerja sambilan di bahagian Bahasa Melayu di BBC London.
Terus mencipta nama, Zam pernah menjadi Timbalan Pengerusi Eksekutif, Utusan Melayu (M) Berhad sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia pada 1983 sehingga 1992 dan mempunyai kolum sendiri dalam akhbar itu iaitu 'Awang Selamat'.
Penulisan tajam dan kritis Allahyarham dalam ruangan pojok 'Awang Selamat' diikuti banyak pihak, baik rakyat biasa mahupun para pemimpin negara serta ahli politik.
Pada 1994, beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd sehingga 1998 serta selaku ahli lembaga pengarah Utusan Melayu (M) Bhd pada 1995.
Bekas ketua pengarang itu mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud Alor Setar sebelum melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kewartawanan di Institute of Journalism, Berlin, Jerman pada 1969 dan dianugerahkan 'Professional Journalism Fellowship' dari University Michigan, Amerika Syarikat pada 1981.
Berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama lebih 40 tahun, ketokohan Zainuddin turut terserlah apabila menerajui beberapa persatuan media termasuk sebagai Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Melayu (NUJ) pada 1970 dan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan dari 1984 hingga 1989 juga pernah dinobat "Tokoh Wartawan 2006" Petronas Media Awards.
Sepanjang mengabdikan diri dalam bidang penulisan, beliau menghasilkan pelbagai judul buku antaranya 'The First and The Last' pada 1993; Yang Terbaik Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992; The Other Side of Mahathir (1994) yang turut dicetak dalam Bahasa Melayu bertajuk 'Mahathir Di Sebalik Tabir' (1994), China dan Tamil; Tun Razak: Profile of a Patriot (1997); The Unsung Heroes (2004); Di Depan Api, Di Belakang Duri (2013); dan Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara (2016).
Sumbangan dan kecemerlangan Zainuddin dalam bidang kewartawanan turut membawa haluan baharu dalam dunia politik apabila dilantik sebagai Senator di Dewan Negara untuk dua penggal berturut-turut bermula 1998 hingga 2004.
Kerjaya beliau bersama kerajaan bermula apabila beliau memegang jawatan setiausaha parlimen Kementerian Penerangan sebelum dilantik sebagai timbalan menteri kementerian itu pada 2004.
Mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Zaiton Zainol Abidin, bapa kepada empat cahaya mata ini pernah bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-11 pada Mac 2004 di kerusi Parlimen Merbok atas tiket UMNO (BN) mengalahkan Saiful Izham Ramli dari PKR dengan majoriti 15,162 undi.
Pada PRU12 2008, Zainuddin bagaimanapun tewas kepada Datuk Johari Abdul pada pertembungan di kerusi Parlimen Sungai Petani.
Sumbangan Zainuddin kepada masyarakat tidak terhenti di situ apabila beliau dilantik sebagai Karyawan Tamu di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2011.
Zainuddin juga terus aktif menulis berkaitan isu-isu semasa di dalam media sosial melalui blognya 'Zamkata'.
Zainuddin mempamerkan bakat seninya melalui sumbangan lirik untuk lagu ciptaan komposer Datuk Ahmad Nawab dan Ketua Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail berjudul "Alam Cinta" dan "Sepi Sekali" nyanyian Allahyarham Saleem.
-- BERNAMA
#ikon #Malaysia #penulis #Tan Sri Zainuddin Maidin #wartawan #Zam
;