"Zalina, jika anda di luar sana, hubungi mak, ayah beritahu anda selamat" - Sharifah Shawati

Nickyson Nyambar
Julai 26, 2022 23:01 MYT
Sharifah Shawati berkongsi keperibadian rakan baiknya itu dalam temu bual rancangan MeleTOP pada Selasa. -Gambar/ Facebook MeleTOP
KUALA LUMPUR : Rakan baik kepada bekas personaliti TV yang hilang, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman, Datin Sharifah Shawati menyifatkan rakannya itu sebagai seorang insan yang kuat.
Ketika temu bual dalam program MeleTOP pada Selasa malam, Sharifah yang tampil berjubah hitam dilengkapi selendang pemberian rakannya baiknya itu, percaya bahawa Zalina masih berada dalam keadaan selamat.
"Saya ingin percaya, dia masih bersama dengan kita. Dia ada di luar sana, sebab saya tahu Zalina mempunyai keinginan yang cukup kuat, dia insan yang kuat .
"Jadi Zal, sekiranya kamu sedang melihat kami sekarang, kamu tahu kita sedang mencari anda. Kami sayangkan anda dan ingin anda tahu, anda tidak keseorangan.
"Kamu perlu jadi seorang yang kuat, kerana apa sahaja yang sedang dihadapi kamu sekarang ini, kami tidak tahu, tetapi kita semua bersama dengan kamu, Zal.
"Kami sayangkan anda. Tolong hubungi mak ayah, keluarga dan beritahu mereka kamu selamat
"Kami tidak akan berhenti mencari anda," kata Sharifah.
Mencari Zalina Azman | Polis masih mengesan kontraktor rumah Zalina
Menurut beliau lagi, Zalina adalah merupakan insan yang menjaga kisah peribadi dan tidak suka menjaja cerita yang tidak perlu.
Katanya dia sendiri telah lama terputus hubungan dengan rakannya itu.
"Saya dah lama tidak jumpa dengan Zalina. Pada kali terakhir saya bertemu dengannya adalah ketika sambutan hari jadi. Lama sangat.
"Masa itu saya diminta menjadi pengacara majlis untuk anak dia Mikal yang hendak berkahwin, tetapi sekarang Mikhael Norman sudah berumur 33 tahun. Bayangkan betapa lama tidak bertemu selepas itu.
"(Saya ada cuba) telefon sebab nak keluar dengan dia (tapi dia) tidak jawab. Jadi kami beranggapan dia mahu kehidupan peribadi. Jadi kita kena hormat," kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Sharifah turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak membuat sebarang andaian yang tidak benar atas kehilangan rakannya itu.
"Kita perlu hormat keluarga dia dan dia sendiri. Dia yang saya ingat adalah seorang yang begitu baik hati, tetapi bab-bab rahsia...
"Kita tahu masa pandemik, ramai yang tertekan, kita pun sebenarnya. Tekanan dan keresahan semua akan menghadapinya dan cara kita menghadapi itu yang penting.
"Bukan saya katakan ia berkait dengan Zalina, cuma kalau pandemik itu ramai yang rasa seperti itu, ada kemungkinan dia merasakan begitu atau dia tidak mahu orang kacau dia, saya tidak tahu. Mungkin dia tidak mahu susahkan orang," tambahnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, Zalina yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas masih belum ditemui walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas.
Dalam pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati, keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.
#Zalina Azman #Sharifah Shawati #rakan baik #Meletop
;