Zaleha Hamid kini terlantar selepas diserang angin ahmar
Astro Awani
Mei 8, 2020 23:47 MYT
Mei 8, 2020 23:47 MYT
Tiada sambutan raya buat keluarga penyanyi veteran, Zaleha Hamid selepas tahap kesihatan artis bersuara emas itu semakin teruk sejak dua bulan lalu.
Zaleha, 65, kini hanya mampu terlantar di atas katil tanpa sebarang patah perkataan keluar dari mulutnya.
Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz berkata keadaan Zaleha kini memerlukan perhatian penuh.
Malah, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, demi menjaga isterinya.
"Saya ada beli baju raya dia, kalau dia panjang umur dan cepat sihat.... itu harapan saya. Saya memang harap dia sembuh, sebab dia tak ada penyakit kronik lain, cuma strok ni. Ikut kata pakar, (sakit) berpunca daripada barah tiroid,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.
Katanya, berat badan Zaleha, yang popular dengan lagu duet Raya Inang Di Aidilfitri bersama Allahyarham Sudirman Haji Arshad itu, kini semakin susut sehingga hanya memiliki berat badan kurang 30 kilogram.
Zaleha kini hanya bergantung makan melalui susu yang disalurkan menerusi tiub.
Tambahan lagi, hampir keseluruhan anggota badannya lemah akibat serangan angin ahmar Disember tahun lalu.
Jelas suaminya, mereka memerlukan sumbangan daripada pihak yang prihatin kerana kini terpaksa menanggung kos yang agak tinggi termasuk menampung keperluan seperti susu dan lampin pakai buang.
Nasib malang Zaleha turut mendapat perhatian, sukarela 'Jom Sedekah Team Banafe' yang diketuai oleh rakan artis iaitu Betty Banafe.
Jelas Betty keadaan Zaleha kini sangat menyedihkan dan beliau bersimpati nasib yang menimpanya.
"Kita kenal Kak Zaleha ni... walaupun tak rapat dia, ada kenangan dengan kami terutamanya abang saya yang menyanyi sekitar 90-an.
"Saya sangat berbesar hati kerana dapat bersemuka dengannya hari ini sambal memberi sumbangan,” katanya ketika ditemui di kediaman penyanyi itu pada Jumaat.
Orang ramai yang bersimpati bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun beliau di akaun Maybank '101011611981 - Siti Zaleha Abdul Hamid'.