Zakir tidak dibenar beri ceramah di semua medium termasuk media sosial - KPN

Bernama
Ogos 20, 2019 00:18 MYT
Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu. - Gambar fail/Astro AWANI
Penceramah bebas Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk di media sosial, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.
“Satu arahan telah dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan baru-baru ini, yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.
“Apabila keluarnya arahan ini, semua Ketua Polis Negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan, bagi menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka, supaya menolaknya,” katanya kepada Bernama.
Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.
BACA: Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara
BACA: 'Saya mohon maaf' - Zakir Naik akui tiada niat sakiti hati masyarakat bukan Islam
“Kami akan dapatkan fakta-fakta yang sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.
“Itu adalah arahan yang memang adil untuk mententeramkan keadaan, ia hanya bersifat sementara dan jika keadaan masih lagi berserabut, arahan tersebut akan kekal.
“Ia jelas bahawa kita tidak mahu forum-forum ceramah agama ini diselitkan dengan isu berkaitan dengan politik. Amat tidak sesuai sekali dalam ceramah-ceramah agama yang membabitkan isu-isu politik, baik dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.
Abdul Hamid berkata dengan arahan yang dikeluarkan itu, polis berharap tidak timbul isu bantahan sehingga keputusan muktamad diperolehi.
“Berhubung kes ini, saya tidak mahu mengatakan pihak sana salah pihak sini betul (menuding jari) sebab beberapa tindakan diambil oleh kedua-dua pihak...oleh Zakir dan juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kandungan ceramah beliau,” katanya.
Jumaat lepas, Zakir yang telah mendapat status pemastautin tetap di Malaysia telah diambil keterangan buat kali pertama di Bukit Aman selama lima jam. Semalam, Zakir telah memberikan keterangan buat kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam.
Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke India.
Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.
Ditanya mengenai kemungkinan Zakir akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut, Abdul Hamid berkata: “Setakat ini belum, cukup memadai dengan keterangan yang diberikan sebelum ini. Polis juga telah mempertimbangkan jawapan yang telah disoal oleh pegawai penyiasat bahawa beliau menafikan mempunyai agenda atau mahu mencetuskan hura-hara”
Abdul Hamid menggesa supaya arahan polis yang melarang mana-mana pihak membenarkan penceramah bebas itu daripada mengadakan sebarang ceramah di mana-mana negeri supaya dihormati.
“Saya menyeru semua pihak untuk akur kepada arahan polis kerana untuk menentukan keselamatan, keharmonian dan keamanan dalam negara ini pihak polis memikul tanggungjawab yang amat berat.
“ Polis membuat keputusan tersebut dengan fakta-fakta dan bukan kita buat secara semborono sahaja mahupun untuk mengikut telunjuk sesiapa pun,” katanya.
Katanya beliau memberi ruang yang secukupnya kepada pegawainya untuk mengambil tindakan dan tidak ada jangka masa yang ditetapkan.
“Jadi tidak ada tempoh masa yang saya kenakan, semua siasatan pada hakikatnya mesti dilakukan dengan tertib serta mengikut prosedur. Sudah pasti kita hendak sesuatu itu berjalan dengan cepat,” katanya.
Ditanya sama ada pihak berkuasa India ada membuat sebarang permohonan bagi menyerahkan Zakir kepada mereka, Abdul Hamid berkata tiada sebarang permintaan daripada pihak berkuasa negara itu dan pihaknya juga belum mengetahui fakta tentang kesalahan serta perkara yang berkaitan dengan Zakir dan apa yang berlaku di India.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bador #Ketua Polis Negara #media sosial #penceramah bebas #Zakir Naik #Zakir Naik dilarang berceramah
;