Zakir Naik sepatutnya berterima kasih, bukannya bagi masalah - Anwar
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 20, 2019 05:06 MYT
Ogos 20, 2019 05:06 MYT
Dr Zakir Naik sepatutnya berterima kasih kepada Malaysia termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya memberi masalah kepada negara, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya pendiriannya mengenai isu membabitkan pendakwah dari India itu, Anwar berkata beliau tidak bersetuju dengan cara dan tindakan Zakir mencerca kaum tertentu di negara ini.
Jelas beliau, soal mencerca kaum India atau Cina, seperti yang dilakukan penceramah bebas itu, tidak boleh diterima.
“Kerajaan dahulu bagi dia (status) penduduk tetap. Kemudian Dr Mahathir terus beri dia tinggal sini, sepatutnya dia berterima kasihlah.
"Tetapi tidak begitu. (Sebaliknya) dia bagi masalah kepada kita pula. Kita nak tolong dia, dia bagi masalah pada kita," katanya pada program Bual Bicara yang diadakan di Dewan Toh Puan Norashikin, Kompleks Darul Puteri di Cheras malam tadi.
Anwar sebelum ini memaklumkan, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan tiga isu iaitu berkaitan Zakir, tulisan jawi dan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).
Katanya, perbincangan itu akan dibuat bagi menyatakan pendirian PKR terhadap isu yang dilihat menjadi kontroversi baru-baru ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk di media sosial.
Tambahnya, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.
Sementara itu, Anwar berkata beliau akan memanggil Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkenaan isu bantuan kepada golongan B40 yang dikurangkan sebelum ini.
Menurut Anwar ia berikutan isu tersebut dibangkitkan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang turut mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.
"Nanti saya panggil Menteri Besar untuk mendapatkan penjelasan kerana ada ADUN dan Ahli Parlimen bangkitkan, dan Menteri Besar berikan penjelasan tentang kewangan.
"Kewangan yang dulu-dulu banyak sangat rupanya, bila dikaji tak sebanyak itu. Tetapi saya akan dapatkan penjelasan dia dan minta dikaji semula apa yang boleh diberikan balik, supaya tidak berikan gambaran negatif kepada kerajaan Pakatan Harapan," katanya.
#ADUN
#Anwar Ibrahim
#B40
#bantuan
#Biro Politik PKR
#India
#larangan
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#penceramah
#pendakwah
#Penduduk Tetap
#PKR
#siasatan
#terima kasih
#Zakir Naik