Zakir Naik masuk campur isu perkauman - Tun M
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 18, 2019 18:37 MYT
Ogos 18, 2019 18:37 MYT
Polis perlu menyiasat penceramah bebas Dr Zakir Naik yang didakwa menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agak jelas tindakan dilakukan Zakir apabila terlibat dengan politik perkauman.
"Dia (Zakir) dilihat mencampuri isu perkauman. Polis perlu menyiasat sama ada ia menyebabkan ketegangan, sangat jelas, ya.
"Apa sahaja tindakan yang akan kita akan ambil adalah berlandaskan kedaulatan undang-undang kerana Kerajaan menghormati undang-undang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tegasnya, sebagai seorang pemegang status Penduduk Tetap (PR) di negara ini, dia tidak boleh terlibat dalam politik di negara ini.
"Anda boleh berdakwah, tapi dia tidak melakukannya. Sebaliknya dia bercakap soal Cina untuk balik ke China dan (bangsa) India balik ke India.
"Saya tidak pernah cakap sebegitu, tapi dia lakukannya. Itu adalah politik," jelas Dr Mahathir.
Sebelum ini, penceramah bebas itu didakwa memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.
Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Dr Zakir dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Namun, pada Rabu lalu, Dr Zakir dalam satu kenyataan media mendakwa, ceramahnya disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.
Katanya, pengkritik memetik kenyataannya itu di luar konteks dengan tujuan mempolitikkan isu terbabit dan berniat jahat.