Zakir Naik dijangka kembali ke Malaysia
Astro Awani
Mac 27, 2023 17:14 MYT
Mac 27, 2023 17:14 MYT
KUALA LUMPUR: Penceramah bebas Zakir Naik dijangka kembali ke Malaysia selepas menghadiri beberapa program di Oman.
Memetik laporan Berita Harian, peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa penceramah itu masih mempunyai beberapa program untuk dihadiri di negara tersebut.
“Dia akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Zakir berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan baik ketika di Oman.
“Zakir juga memaklumkan, laporan yang mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan,” tambah Akberdin.
Sebelum ini, media India News18 melaporkan penceramah itu bakal ditahan dan diusir dari Oman untuk dihantar pulang ke India.
Zakir dijemput untuk menyampaikan dua ceramah di Oman dengan ceramah pertama dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Oman manakala ceramah kedua dijadualkan di Universiti Sultan Qaboos pada petang 25 Mac.