Zakat Pulau Pinang: Tiada wang zakat diselewengkan
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 10, 2017 17:04 MYT
Mei 10, 2017 17:04 MYT
Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberi jaminan tiada wang zakat yang disumbangkan umat Islam di negeri itu diselewengkan ekoran penahanan empat pegawai agensi itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) pada Selasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dalam Negeri, Datuk Abdul Malik Kasim berkata, penahanan pegawai ZPP oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu adalah bagi membantu siasatan yang menjurus kepada penyelewengan peribadi.
Jesteru, pihaknya berharap umat Islam tidak bimbang dan memberi ruang kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Kita ingin menjamin iaitu tidak ada penyelewengan wang zakat. Apa yang kita lihat penahanan ini ialah satu penyiasatan terhadap pegawai dan kita boleh tunggu dan lihat apakah keputusannya.
“Saya ingin nyatakan di sini, setakat ini tidak ada penyelewengan wang zakat dan ini adalah satu jaminan... insyaAllah memang tidak ada,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Selain itu katanya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menjalankan siasatan dalaman ke atas empat pegawainya bagi mengenal pasti sama ada berlaku unsur penyelewengan dan rasuah.
Tambah Abdul Malik lagi, Ahli Lembaga ZPP juga akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, bagi melihat semula soal pentadbiran dalam agensi itu ekoran penahanan empat pegawainya .
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Malik turut mengesahkan juruaudit bebas pernah dipanggil untuk membuat pemeriksaan ke atas ZPP pada 2015 berikutan wujud laporan terhadap proses tender bagi urusan pembelian di bawah agensi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, juruaudit bebas itu tidak menemui sebarang unsur penyelewengan dalam pemeriksaan mereka namun mengesyorkan supaya beberapa prosedur berkaitan kewangan diperketatkan.
Abdul Malik berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Mengenai kedudukan CEO ZPP, beliau menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan sehingga siasatan SPRM selesai.
Abdul Malik berkata demikian pada sidang media di Pejabatnya di Komtar, Pulau Pinang pada Rabu.
Hadir sama, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohd Salleh Man.
Pada Selasa, empat pegawai Kanan ZPP bersama tujuh kontraktor di tahan SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan untuk projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu.
Mereka yang berusia 35 hingga 52 tahun direman selama seminggu sehingga 15 Mei ini.