Zakat Pulau Pinang kutip RM110 juta

Bernama
Disember 24, 2020 05:22 MYT
Ahmad Zakiyuddin berkata lebih 10,000 asnaf baru menerima bantuan pada tahun ini berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19 selepas tiada pendapatan dan dibuang kerja. - Gambar fail
KEPALA BATAS: Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengutip sebanyak RM110 juta sehingga Rabu dan optimis dapat mencapai sasaran RM122.4 juta kutipan zakat tahun ini meskipun ketika negara terkesan dengan pandemik COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi ZPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata walaupun jumlah kutipan tahun ini agak perlahan, namun beliau percaya jumlah itu akan bertambah menjelang hujung tahun ini.
"Walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19, masih ramai yang tampil menunaikan tanggungjawab biarpun kutipan agak perlahan dan kami juga memahami kekangan kewangan di hadapi pembayar zakat sama ada zakat perniagaan mahupun zakat pendapatan. Kesedaran terhadap kewajipan menunaikan zakat dalam kalangan umat Islam di negeri ini masih tinggi.
"Sasaran kutipan pada tahun ini hampir sama pada tahun lepas berikutan ZPP terpaksa menyemak semula nilai sasaran berikutan keadaan ekonomi yang tidak stabil disebabkan COVID-19. Saya bersyukur dengan keadaan tidak menentu ini, ramai individu serta pihak syarikat tampil membayar zakat sebab itu kami optimis untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.
Terdahulu, beliau menerima penyerahan zakat bagi pihak ZPP pada Majlis Hi-Tea ZPP bersama pembayar zakat korporat 2020, yang turut dihadiri Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali di sini semalam.
Pada majlis itu, ZPP menerima zakat perniagaan berjumlah RM969,628.52 daripada lima badan korporat yang beroperasi di Pulau Pinang iaitu UDA Land (North) Sdn Bhd (RM361,567.52), Telekom Malaysia (RM211,062), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Wilayah Utara (RM200,000), Al Hadad Marketing Sdn Bhd (RM100,000) dan Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd (RM75,000).
Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata lebih 10,000 asnaf baru menerima bantuan pada tahun ini berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19 selepas tiada pendapatan dan dibuang kerja.
"Tahun lepas ZPP agihkan kepada 40,000 mereka yang kurang berkemampuan, namun tahun ini terdapat penambahan 10,000 orang lagi menjadikan lebih 50,000 menerima bantuan daripada kami. Majoriti asnaf baru itu adalah mereka yang dibuang kerja, tiada pendapatan dan pendapatan berkurangan akibat pandemik COVID-19. Kami tambah RM5 juta hingga RM10 juta untuk diagihkan kepada asnaf baru," katanya.
-- BERNAMA
#pandemik #COVID-19 #Zakat Pulau Pinang #Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang #ZPP #kutipan #zakat #pulau pinang #Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman #kekangan kewangan #pembayar zakat #zakat perniagaan #asnaf #pendapatan berkurangan
;