Zaitun wanita OKU manfaatkan ilmu YouTube, gigih jual donat bantu keluarga
Bernama
Oktober 7, 2022 16:50 MYT
Oktober 7, 2022 16:50 MYT
IPOH: Demi kelangsungan hidup, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) gigih mendalami ilmu cara membuat donut di YouTube sebelum menjaja kuihnya itu di kawasan rekreasi Padang Polo, di sini bagi membantu menjana pendapatan keluarga.
Zaitun Ibrahim, 35, menghabiskan masa hampir lebih lapan bulan di platform YouTube bagi memastikan adunan kuih donut yang dihasilkan itu gebu dan lembut selain beliau kini sudah mampu meraih kira-kira RM100 sehari, hasil daripada jualan donat.
Menurut Zaitun dek kerana yuran kelas memasak yang agak tinggi, beliau yang diuji dengan kudung kedua-dua belah kaki dan tangan kiri sejak lahir akibat demam panas, telah memanfaatkan platform media sosial itu sebagai 'guru' serta panduan untuk beliau membuat kuih donat yang sedap.
"Wang yang ada pun cukup-cukup makan sahaja bagi saya, suami dan anak perempuan berusia 17 tahun untuk meneruskan hidup dan disebabkan itu saya hanya rujuk YouTube untuk belajar masak.
"Bersandarkan rakaman video yang ada (di YouTube) saya memperbaiki resipi sedia ada agar dapat menjaga kualiti kuih jualan saya dan membantu keluarga dengan menjual donut," katanya kepada Bernama di rumahnya di Flat Kinta Heights di sini baru-baru ini.
Kelibat Zaitun yang menggunakan kerusi roda dengan disorong oleh suamin Haizul Yit, 45, akan mula kelihatan di Padang Polo berkenaan seawal pukul 5 petang untuk menjaja kuih donat yang jual dengan harga RM5 bagi setiap set 3 biji donat yang mempunyai pelbagai perisa seperti strawberi, coklat dan pisang.
Bercerita lanjut, Zaitun yang mengimbau kemiskinan keluarganya berkata sehingga kini dia tidak mempunyai kad pengenalan diri kerana kelahirannya tidak didaftarkan ketika dilahirkan dan ibu bapanya pula merupakan warga Thailand.
"Saya dilahirkan di rumah oleh bidan tanpa ada kelengkapan bersalin yang mencukupi, diuji pula dengan masalah keluarga ketika itu apabila bapa meninggalkan kami anak-beranak," tambahnya.
"Disebabkan itu, saya tidak layak untuk memohon sebarang bantuan atau insentif OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lebih menyedihkan apabila saya tidak boleh menerima rawatan di hospital kerajaan dan terpaksa bergantung kepada kedai ubat kerana tidak mampu ke klinik swasta," katanya sebak.
Zaitun berkata walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran hidup, namun ia bukanlah pengakhiran malah keadaan itu membuatkan beliau lebih bersemangat untuk terus mengubah nasib keluarga termasuk mengusahakan pelbagai perniagaan antaranya kraftangan anyaman bakul, gubahan bunga, dan kuih-muih.
Hakikatnya, jauh di sudut hati wanita ini, tersimpan rasa sayu apabila beliau tidak dapat melebarkan sayap perniagaan akibat ketiadaan kad pengenalan diri.
Justeru, Zaitun berharap agar ada pihak berkaitan dalam kerajaan dapat membantunya bagi mendapatkan kad pengenalan diri agar masa depan dia dan keluarganya, lebih terbela.
-- BERNAMA