Zainuddin Maidin selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate

Bernama
Disember 15, 2018 12:40 MYT
Suasana pilu di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Taman Melawati hari ini berikutan jenazah bekas Menteri Penerangan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dikebumikan hari ini. --fotoBERNAMA
Jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau At Tarbiah, Taman Melawati sebelum dikebumikan pada kira-kira 9.50 pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila ratusan anggota keluarga dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Bercerita mengenai arwah, anak ketiga Allahyarham daripada empat beradik, Zairin Zainuddin, 44, menyifatkan arwah bapanya seorang yang peramah dan ayah terbaik.
Beliau berkata walaupun arwah sibuk dengan kerja, Allahyarham tetap meluangkan masa bersama keluarga dan mengambil berat mengenai anak-anak.
"Ayah saya seorang yang ringan tulang dan suka membantu kawan-kawannya dan sangat suka meluangkan masa bersama keluarga sewaktu dia menjadi Menteri Penerangan dulu.
"Dia juga banyak menghabiskan waktu menjaga emak saya yang lumpuh sejak tahun 1995 dan sentiasa berada di sisinya," katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan berkenaan.
Zairin berkata kali terakhir beliau menemui arwah ayahnya tiga minggu lepas dan ketika itu, arwah ayahnya kelihatan sangat sihat.
"Sebelum ini, arwah ayah saya dirawat di Hospital Putrajaya dan dipindahkan ke Hospital Serdang kerana tahap kesihatannya telah stabil.
"Sewaktu di dirawat di hospital berkenaan, dia ditempatkan di wad biasa sebelum meninggal dunia petang semalam," katanya.
Zainuddin, 79, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.40 petang semalam kerana serangan jantung.
Zainuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Zam, dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 Nov dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri iaitu Puan Sri Zaiton Zainol Abidin dan empat anak iaitu dua lelaki serta dua perempuan.
-- BERNAMA
#jenazah #kebumi #meninggal dunia #Zainuddin Maidin
;