Zainuddin Maidin meninggal dunia
Astro Awani
Disember 14, 2018 19:13 MYT
Disember 14, 2018 19:13 MYT
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Serdang, petang ini.
Kematiannya pada kira-kira jam 6.20 petang itu disahkan anaknya, Zaidan ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada 12 November lalu, Allahyarham yang berusia 79 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Serdang.
Menurut Zaidan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman mereka di Putrajaya selepas urusan di hospital sempurna.
Solat jenazah akan diadakan di Surau At-Tarbiah, Jalan I, Taman Melawati pada pukul 9pagi esok sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Melawati.
Zainuddin, anak kelahiran Kedah, dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1998, sebelum dinamakan Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua pada Februari 2001 dan dilantik Timbalan Menteri Penerangan pada 21 November 2002.
Pada pilihan raya umum (PRU) tahun 2004, beliau memenangi kerusi Merbok dengan menewaskan calon Keadilan, Saiful Izham Ramli.
Pada 14 Februari 2006, beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan.
Pada PRU 2008, Zainuddin yang bertanding untuk Parlimen Sungai Petani dikalahkan oleh lawannya Johari Abdul dari PKR.
Sebelum menceburi bidang politik, Zainuddin memulakan kerjaya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu Alor Star pada 1951 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap 10 tahun kemudian.
Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Zaiton Zainol Abidin dan empat orang anak.
#belasungkawa
#hospital putrajaya
#Hospital Serdang
#meninggal dunia
#Menteri Penerangan
#paru-paru berair
#Zainuddin Maidin